Search This Blog

Saturday, April 2, 2011

Arwah tunjuk banyak perubahan



CHANGLUN - ”Ketupat kacang yang arwah minta saya buat untuk persiapan kenduri doa selamat yang ingin diadakan pada Khamis malam Jumaat lalu di rumah kami bertukar kepada majlis tahlil untuknya,” kata Marina Darus, 43, isteri kepada Allahyarham Abd Halim Hat, 52.

Suaminya itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar malam kelmarin selepas tidak sedarkan diri akibat terjatuh dari bumbung semasa membantu membaiki rumah seorang rakannya, pagi kelmarin.

Marina yang ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Eriang dekat sini semalam, berkata, arwah suaminya seorang tukang rumah, namun pada masa kejadian dia bercuti dan hanya pergi membantu seorang rakannya membaiki rumah tidak jauh dari rumah mereka.

“Ketika kejadian saya tiada di rumah kerana sedang bekerja dan hanya dimaklumkan oleh adik saya, Mariani Darus mengenai kejadian yang menimpa suami.

“Walaupun arwah banyak menunjukkan perubahan sebelum pergi meninggalkan kami sekeluarga buat selamanya, namun perubahan itu langsung tidak disedari dan hanya terlintas difikiran saya selepas majlis pengebumiannya semalam (kelmarin),” katanya.

Menurutnya, bermula dengan insiden kambing peliharaan suaminya mati, arwah mula memberitahunya yang dia tidak mahu lagi menjaga kambing disebabkan kambing peliharaannya selalu mati dan kemungkinan dia tidak sesuai untuk menternak haiwan itu.

“Saya begitu pelik kerana sebelum ini arwah sangat berminat menjaga kambing, namun tiba-tiba kecewa kerana kambingnya mati. Kemudian dia juga ada memberitahu teringin makan mi goreng seperti yang saya masak pada malam sebelum kejadian, tetapi saya tidak larat untuk memasaknya pada waktu itu.

“Jadi keinginan mi goreng yang dia mahu makan saya sediakan semasa sarapan pagi sebelum kejadian pagi kelmarin. Namun apa yang memilukan saya, jika sebelum ini setiap kali hendak bersarapan dia pasti akan mandi dan solat subuh terlebih dahulu, tetapi pada pagi itu selepas bangun tidur dia terus makan mi goreng itu dua, tiga suap sebelum mandi,” katanya.

Malah Marina berkata, sehari sebelum kejadian juga, arwah ada meminta dia menyediakan ketupat untuk dijadikan hidangan untuk kenduri doa selamat yang ingin diadakannya pada malam kelmarin.

“Anak sulung, Noraida Abd Halim, 25, membantu saya membuat ketupat memandangkan saya tidak sempat melakukannya seorang diri kerana bekerja.

“Namun tidak sempat ketupat direbus, dia pergi meninggalkan kami dalam sekelip mata. Saya tidak sangka pelbagai perubahan yang ditunjukkan arwah sebenarnya satu petanda dia akan pergi selama-lamanya dan kenduri doa selamat itu sebenarnya adalah majlis tahlil untuk dirinya,” katanya.



Jatuh timpa rakan



Rakan arwah yang juga pemilik rumah tempat arwah membaiki bumbung itu, Md Khir Ahmad, 59, berkata, dia tidak sangka kejadian terbabit akan menimpa rakannya itu.

Menurutnya, pada masa kejadian, arwah tiba-tiba jatuh dari bumbung dan terus menimpa atas bahunya yang ketika itu berada di atas tangga dalam bilik tempat mereka membaiki bumbung rumah itu.

“Saya tidak sempat hendak berbuat apa-apa memandangkan dia jatuh dengan cepat dan terus tidak sedarkan diri.

“Saya hanya cedera ringan sahaja namun turut dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut pada masa itu. Bagaimanapun arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan kepada kami kerana sewaktu membuat kerja membaiki rumah kami berbual seperti biasa,” katanya.

:Sementara itu, jenazah Abd Halim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Titi Kerbau di sini, pagi semalam.

Turut hadir menziarahi keluarga mangsa ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar dan kenalan arwah.

No comments:

Post a Comment