Search This Blog

Friday, April 29, 2011

Amah curi duit majikan diheret ke mahkamah



GEORGETOWN - ‘Wang yang dicuri adalah sedikit demi sedikit’ dan mengambil masa selama lima bulan. Akhirnya terbongkar apabila diketahui majikan.

Akibat tindakannya itu, seorang pembantu rumah warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencuri wang majikan tiga hari lalu.

Atin Sutinah, 39, mengaku tidak bersalah dan minta bicara selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Noor Aini Yusof.

Noor Aini juga membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada Mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai.

Beliau menetapkan 12 Mei ini serah dokumen dan sebutan kes.

Atin Sutinah yang diamanahkan sebagai pembantu rumah didakwa dengan niat curang mencuri wang bernilai RM1,698 milik majikannya, Yeoh Chai Hong, 30.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen yang sama membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia.

Ketika rayuan, Atin Sutinah meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan itu kerana ejennya akan membayar wang jaminan.

No comments:

Post a Comment