Search This Blog

Wednesday, April 20, 2011

Ajal dalam bas




KULIM - Keghairahan seorang tukang masak, Sivakumar Perumal, 37, yang tinggal di Kuala Kubu Bharu, Selangor untuk balik ke kampungnya di Pulau Pinang tidak kesampaian apabila dia temui mati di tempat duduk bas ekspres yang dinaikinya kira-kira jam 11 malam, kelmarin.
Pemandu bas Helmi Suib berkata, mangsa naik di Hentian Bas Pudu Raya kira-kira jam 6 petang setelah membeli tiket ke Kulim.
Apabila tiba di Dataran Sungai Perak, mangsa dikatakan tidak turut untuk berehat sebaliknya kelihatan berbaring di kerusi.
“Tidak ramai yang naik bas dari Kuala Lumpur ke Kulim bersama mangsa. Hanya ada empat penumpang dan dua pemandu. Ketika mangsa naik bas di Hentian Pudu Raya, saya lihat keadaannya yang berpeluh dengan banyak tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa, “ katanya.
Menurutnya, apabila tiba di stesen bas Kulim kira-kira jam 10 malam, semua penumpang turun melainkan mangsa.
“Saya kemudiannya cuba mengejutkan mangsa tetapi dia tidak bangun. Saya meminta bantuan dari petugas di kaunter tiket hentian bas Kulim. Mereka kemudiannya menghubungi ambulan dan mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.
Waris mangsa yang ditemui di tempat kejadian berkata, mangsa sebelum ini hanya mengalami penyakit darah tinggi tetapi tidak serius. Mangsa akan balik ke kampungnya di simpang empat Pulau Pinang setiap bulan. Mangsa sebelum ini memaklumkan kepada keluarganya supaya menunggunya di hentian bas.
“Sebelum ini mangsa pernah mengadu mengalami masalah penyakit darah tinggi. Mangsa merupakan seorang yang baik dan tukang masak kepada sebuah syarikat serbuk kari. Kami terkejut apabila dimaklumkan dia sudah meninggal dunia, ” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment