Search This Blog

Friday, April 29, 2011

Agensi pelancongan disiasat


KUALA LUMPUR 28 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat sebuah agensi pelancongan tempatan berikutan penahanan 10 rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, New Zealand kelmarin selepas didapati cuba menyeludup masuk dadah bernilai NZ$10 juta (RM24 juta).

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, agensi pelancongan terbabit dipercayai menguruskan penerbangan 14 rakyat tempatan ke New Zealand yang dijadualkan berlepas kira-kira pukul 11.25 pagi kelmarin.
Katanya, hasil maklumat yang diterima kesemua pasport dan dokumen perjalanan yang diuruskan agensi terbabit didapati lengkap serta sah.
"Polis percaya ganjaran yang lumayan ditawarkan kepada 'keldai dadah' terbabit dan sedang menyiasat penglibatan agensi pelancongan berkenaan dengan sindiket dadah antarabangsa.
"Pihak polis turut mengesahkan penahanan 10 rakyat tempatan berusia antara 29 hingga 58 tahun yang dipercayai menyeludup masuk dadah ke New Zealand, kelmarin.
"Apa yang mengejutkan, mereka yang berusia lingkungan 50-an lebih ramai ditahan selain siasatan awal menunjukkan sepasang suami isteri dan seorang lagi wanita antara 10 individu yang ditahan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar tempatan hari ini melaporkan 10 rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland selepas didapati cuba menyeludup masuk dadah bernilai NZ$10 juta (RM24 juta).
New Zealand Herald, akhbar di negara itu melaporkan, dadah jenis methamphetamine itu ditemui disorokkan dalam kasut suspek.
Noor Rashid memberitahu, dalam kejadian tengah hari itu, seorang daripada 14 rakyat tempatan yang baru tiba di lapangan terbang tersebut dilihat mencurigakan sebelum ditahan pihak kastam. Pemeriksaan awal mendapati dia menyembunyikan dadah di dalam kasutnya.
"Susulan tangkapan itu, sembilan lagi individu daripada kumpulan itu turut membawa dadah menggunakan taktik sama," katanya.
Sejak awal tahun ini, katanya, dianggarkan 30 tangkapan keldai dadah telah dibuat termasuk kes terbaru, bagaimanapun angka itu dilihat menurun berbanding tahun sebelumnya iaitu melebihi 100 tangkapan.

No comments:

Post a Comment