Search This Blog

Tuesday, April 26, 2011

5 beranak sehelai sepinggang



KUALA NERUS - Hasrat seorang ibu tunggal membaik pulih kediamannya melalui saluran bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) tidak kesampaian setelah rumahnya hangus sama sekali dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Kubang Jela, Manir, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, Yusrina Mat Jusoh, 32, yang tinggal bersama empat anaknya tinggal sehelai sepinggang setelah rumah kayu itu hangus.

Bapa mangsa, Mat Jusoh Ali, 58, berkata, ketika kejadian, anaknya yang bekerja mengambil upah mengemas rumah orang secara kebetulan tiada di rumah, manakala keempat-empat cucunya yang masih kecil keluar bermain di kawasan berhampiran.

Katanya, kejadian itu hanya disedari isterinya, Halimah Mat Zin, 59, yang berada di rumah mereka yang terletak jarak 50 meter dari lokasi kejadian.

“Kejadian itu disedari setelah isteri saya yang ketika itu berada di dalam rumah kami terbau benda terbakar lalu keluar dari rumah untuk mencari puncanya.

“Dia terkejut setelah mendapati sebahagian daripada rumah anak kami sudah terbakar,” katanya.

Menurut Mat Jusoh, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada jirannya kira-kira jam 6 petang.

Usaha menemu ramah mangsa gagal kerana difahamkan dia masih dalam keadaan terkejut dan tidak mahu diganggu.

Sementara itu, Pegawai Operasi merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, TPgB Kamerul Bieza Mohamed Kassim ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.44 petang dan tiba di lokasi kejadian jam 5.53 petang.

“Dengan kekuatan seramai 23 anggota, kami berjaya mengawal keadaan dalam beberapa minit sahaja, namun, rumah separuh kekal itu gagal diselamatkan kerana ketika tiba, hampir 80 peratus rumah sudah hangus,” katanya.

No comments:

Post a Comment