Search This Blog

Wednesday, April 13, 2011

42 pusat hemodialisis tak daftar


Pesakit terdedah risiko jangkitan jika premis tidak patuhi panduan kebersihan 


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan semalam mendedahkan 42 pusat hemodialisis milik badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta di seluruh negara masih tidak berdaftar dengannya, sekali gus menyebabkan tahap keselamatan dan kebersihannya tidak dapat dipantau kerajaan.
Berikutan itu, pesakit buah pinggang yang sedang mendapatkan rawatan di premis terbabit mungkin berdepan pelbagai risiko komplikasi selepas menggunakan mesin hemodialisis di situ termasuk jangkitan silang Hepatitis B dan Hepatitis C sekiranya premis berkenaan tidak mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan.
Ia kerana kementerian tidak dapat memantau sama ada petugas atau jururawat di pusat berkenaan mendapat latihan yang sewajarnya dan pusat mematuhi arahan kebersihan serta keselamatan. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata sehingga Disember lalu, sebanyak 618 pusat hemodialisis beroperasi di seluruh negara termasuk 181 daripadanya di hospital kerajaan; 297 dikendalikan oleh pihak swasta dan 140 ditubuhkan oleh NGO bagi membolehkan lebih 23,400 pesakit buah pinggang di Malaysia mendapatkan rawatan masing-masing setiap minggu. 

Bagaimanapun, Dr Hasan berkata sehingga kini hanya 395 daripada 437 pusat hemodialisis dikendalikan pihak swasta dan NGO sudah menghantar permohonan untuk mendapatkan lesen, manakala selebihnya belum berbuat demikian. 

Justeru, katanya, pusat hemodialisis terbabit diberi tempoh hingga 31 Disember ini untuk mendaftar atau kementerian akan mengambil tindakan tegas termasuk kemungkinan mengarahkan ia ditutup mengikut Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Swasta Lain) 2006 dan Akta Kemudahan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998. 
Katanya, sehingga 30 Mac lalu kementerian juga meluluskan 57.5 peratus atau 227 daripada 395 permohonan lesen pusat hemodialisis swasta dan NGO terbabit. 

Malah, Laporan Audit Negara 2010 juga menegur Kementerian Kesihatan kerana gagal mendaftarkan 86.2 peratus daripada keseluruhan pusat hemodialisis swasta dan NGO yang menerima geran bantuan daripada kerajaan. 

“Pihak swasta dan NGO perlu memberikan kerjasama bagi memastikan semua perkhidmatan dan rawatan dialisis disediakan adalah berkualiti, berkesan dan selamat, sekali gus dapat mengelak risiko jangkitan silang penyakit seperti Hepatitis B dan Hepatitis C di kalangan pesakit buah pinggang,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Penyedia perkhidmatan itu juga perlu memastikan semua doktor yang berkhidmat di situ mendapat pengalaman dan latihan mencukupi membabitkan latihan klinikal selama sekurang-kurangnya 200 jam sebelum dibenarkan mengendalikan rawatan pesakit di pusat hemodialisis. 

“Untuk mengurangkan beban pusat hemodialisis dalam melatih jururawat dan penolong pegawai perubatan (MA) pihak bertanggungjawab juga akan menyediakan kursus jangka pendek kepada mereka,” katanya. 

No comments:

Post a Comment