Search This Blog

Friday, April 29, 2011

3 penyamun asing ditembak mati





Sharifuddin Abdul Ghani menunjukkan senjata yang digunakan oleh tiga penyamun ketika menyamun sebuah rumah di Felda Jengka 18 pada sidang akhbar di Maran, semalam. - BERNAMA


MARAN 28 April - Polis menembak mati tiga penjenayah warga asing selepas kira-kira sejam mereka menyamun sebuah rumah keluarga peneroka di Felda Jengka 18 di sini awal pagi ini.
Kesemua penjenayah terbabit ditembak selepas cuba menyerang anggota polis yang mengejar mereka di sebuah ladang sawit di tanah rancangan itu kira-kira pukul 3.30 pagi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd. Ghani berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggota polis cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang melakukan rondaan jenayah 'Ops Rantau' berhampiran kawasan itu.
Katanya, pasukan polis itu terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva di simpang Felda Jengka 18 yang dipercayai kenderaan curi dalam kejadian rompakan di Kampung Pandan 2, Kuantan, kelmarin.
"Polis kemudian memberi arahan supaya pemandu kereta terbabit berhenti tetapi kereta itu terus memecut laju. Selepas mengejar sejauh kira-kira empat kilometer, kereta itu masuk ke ladang kelapa sawit tetapi akhirnya terbabas akibat terlanggar pokok.
"Ketiga-tiga suspek yang bersenjata parang kemudian meluru keluar dan terus menyerang anggota polis berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini hari ini.
Bagi mempertahankan diri, kata Sharifuddin, anggota polis tersebut terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah perompak itu menyebabkan kesemua mereka mati di tempat kejadian.
Menurut beliau, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada ketiga-tiga penjenayah tersebut.
Katanya, penjenayah tersebut dikatakan baru selesai menyamun sebuah rumah peneroka di tanah rancangan Felda Jengka 18 ketika mangsa sedang menonton perlawanan bola sepak di di ruang tamu rumahnya kira-kira pukul 2.30 pagi.
Penyamun itu ujarnya, mengikat mangsa menggunakan tuala tetapi isteri dan seorang anaknya yang sedang tidur di bilik masing-masing tidak menyedari kejadian tersebut.
Bagaimanapun, katanya, mereka hanya berjaya menyamun wang tunai RM300 dan telefon bimbit.
Menurut Sharifuddin, polis menemui semula barangan dipercayai hasil samun yang keseluruhannya bernilai RM30,000 termasuk hasil jenayah yang dilakukan di Pekan dan Kuantan beberapa hari lalu.

No comments:

Post a Comment