Search This Blog

Thursday, April 21, 2011

2 suspek lari ketika dibawa ke lokap


Lelaki lolos ikut pintu belakang mahkamah


KUANTAN: Biarpun tangan bergari dan diiringi tiga anggota polis, dua suspek kes samun yang dibawa ke Mahkamah Temerloh bagi mendapatkan perintah reman meloloskan diri melalui pintu belakang mahkamah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, suspek lelaki berkenaan, masing-masing berusia 29 dan 30 tahun yang ditangkap kelmarin membabitkan kes kecurian baja dua minggu lalu, tiba di pekarangan mahkamah menaiki trak polis.
Namun, sejurus turun dari trak, kedua-dua suspek berkenaan dibawa menuju lokap mahkamah tetapi melarikan diri dengan menaiki tangga menuju ke pintu keluar kecil di bahagian belakang bangunan terbabit.

Anggota polis yang terkejut dengan tindakan suspek mengejar mereka yang lari ke taman rekreasi berhampiran mahkamah.

Biarpun dikejar, suspek yang memakai baju lokap serta sebelah tangan bergari melarikan diri dengan menaiki kereta Toyota Corona milik lelaki berusia 50-an yang kebetulan berada dalam kereta selepas selesai berjoging di kawasan rekreasi itu.

Menurut saksi, ketika kejadian beliau sedang bersarapan di kantin mahkamah sempat melihat dua lelaki berlari dalam keadaan kelam kabut menuju pintu belakang mahkamah.
“Beberapa pelanggan di kantin kemudian bertempik ‘OKT (orang kena tuduh) lari!’ sambil kelihatan beberapa anggota polis mengejar mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, suspek terbabit memboloskan diri ketika dibawa ke lokap mahkamah sementara menunggu untuk dipanggil bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Mohd Nor berkata, mangsa yang kehilangan keretanya sudah membuat laporan berhubung kejadian itu.

“Usaha memburu suspek sedang giat dilakukan termasuk mengadakan sekatan jalan raya di bandar ini dan kami percaya kedua-dua lelaki berkenaan masih berada di sekitar Temerloh,” katanya.

No comments:

Post a Comment