Search This Blog

Wednesday, April 13, 2011

13 remaja belasah perogol kena tahan


Lelaki direman sebaik dibenar keluar hospital 


KANGAR: Sekumpulan 13 remaja ditahan disyaki membelasah seorang lelaki sehingga cedera, selepas mangsa disyaki merogol gadis berusia 13 tahun dalam kejadian di Beseri, Padang Besar.
Kejadian dikatakan berlaku malam Ahad lalu, selepas sekumpulan remaja berusia antara 13 hingga 16 tahun itu terserempak dengan lelaki berkenaan yang berusia 20 tahun, di belakang rumah kedai di Jalan Bukit Lagi, di sini, jam 10 malam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua remaja terbabit, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kes rogol yang dikaitkan dengan mangsa. 

Beliau berkata, pihaknya hanya menerima laporan kes pukul yang dibuat mangsa di Balai Polis Kangar dan dakwaan kes rogol yang dikaitkan dengan lelaki itu disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan mereka ditahan reman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan. 
“Mangsa yang lebam dan cedera ringan pada badan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), untuk rawatan lanjut,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berasal dari Jitra, Kedah itu dipercayai suspek utama kes rogol berkenaan. 

Beliau berkata, suspek ditahan sejurus dibenarkan keluar daripada HTF, malam kelmarin, sebelum direman tujuh hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. 

No comments:

Post a Comment