Search This Blog

Sunday, April 3, 2011

100 pelajar di Medan terjejas akibat banjir

JAKARTA: Seramai 100 pelajar Malaysia terjejas akibat banjir yang berlaku di Medan, Sumatera, kelmarin, apabila paras air di kawasan perumahan mereka naik hingga ke paras lutut.
Untuk sementara ini, pelajar Universiti Sumatera Utara itu menumpang di rumah rakan mereka yang menetap di kawasan selamat. Pengarah Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata, semua pelajar Malaysia di Medan dilaporkan selamat daripada banjir yang berikutan hujan tanpa henti sejak Rabu lalu.

“Saya bersama Atase Pendidikan, Ludinata Misnum menghubungi pemimpin pelajar kita di Medan dan mengarahkan mereka mengikut prosedur operasi biasa untuk menyelamatkan pelajar terbabit.

“Kami juga menyuruh mereka berpindah ke lokasi selamat dengan bantuan Konsulat Malaysia di Medan, Persatuan Pelajar Malaysia di Indonesia (Cawangan Medan) dan Kelab Umno Luar Negara (KULN),” katanya.

Dr Junaidy berkata, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dalam usaha mengenal pasti pelajar yang terbabit dalam banjir berkenaan. Pagi semalam, Ludinata turut berlepas ke Medan untuk membantu operasi menyelamatkan mereka.


Difahamkan, 1,524 pelajar Malaysia menuntut di Medan.

Sejak 31 Mac, kira-kira jam 9 pagi hujan tanpa henti di Medan hingga menyebabkan air di Sungai Deli melimpah, dan mengakibatkan banjir bermula jam 7.30 pagi kelmarin.

Bendahari KULN, Datuk Seri Shahidan Kassim menyumbangkan biskut, roti dan minuman kepada mangsa banjir.
myMetro100 pelajar di Medan terjejas akibat banjir

No comments:

Post a Comment