Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Warga Afrika Selatan monopoli sindiket pengedaran dadah



KUALA LUMPUR 2 Mac - Selepas kejayaan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah membabitkan warga Iran, kegiatan itu kini dikatakan didominasi oleh warga dari negara Afrika Selatan.
Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, berlaku peningkatan jumlah tangkapan dilakukan ke atas warganegara tersebut berbanding warga Iran yang kini dilihat semakin menurun.
Situasi ini berlaku berikutan perubahan modus operandi yang digunakan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang tidak lagi tertumpu kepada penyeludup warga Iran.
Perkara ini diakui sendiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim yang berkata, polis menyedari senario itu dan kini meningkatkan kawalan terhadap kemasukan warga dari negara tersebut.
"Tumpuan operasi tidak hanya tertumpu di lapangan-lapangan terbang sahaja malah pemantauan akan diadakan di perairan-perairan pintu masuk negara dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk memintas bekalan dadah masuk ke negara ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Noor Rashid bagaimanapun tidak menyenaraikan jumlah tangkapan membabitkan warga Afrika Selatan dalam sindiket pengedaran dadah di negara ini.
Beliau memberitahu, sepanjang dua bulan tahun ini, pihaknya berjaya melakukan tangkapan sebanyak 27,704 orang atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik di seluruh negara.
Noor Rashid memberitahu, pihaknya juga berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM48.08 juta pada bulan Januari dan Februari tahun ini.
"Daripada jumlah rampasan tersebut tersebut, dadah jenis syabu mencatatkan nilai rampasan tertinggi iaitu sebanyak RM43.61 juta," ujarnya.
Noor Rashid memberitahu, pencapaian ini merupakan hasil kejayaan PDRM yang menjalankan pelbagai operasi bagi menggagalkan usaha penyeludupan masuk dadah selain membanteras segala aktiviti narkotik.Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment