Search This Blog

Tuesday, March 15, 2011

Wanita maut jatuh bangunan



JOHOR BAHRU – Seorang wanita ditemui mati selepas dikatakan terjatuh dari tingkat 12 bangunan pangsapuri Sri Panglima, di Bukit Saujana, di sini.

Mayat wanita dikenali sebagai Lu Siew Huen, 38, ditemui terlentang oleh orang ramai tepat jam 12 tengah hari.

Guru Tadika Hikmah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Kaseh Selamat, 31, dikatakan antara saksi terawal menyedari mayat yang terdampar di lorong pangsapuri terbabit.

“Saya memang tidak sedar kerana tiada bunyi dentuman atau aneh yang didengar biarpun jarak tempat wanita terbabit jatuh kurang 10 meter, sehingga saya didatangi oleh seorang ibu pelajar tadika ini yang mahu mengambil anaknya yang memaklumkan ada wanita berbaring berdekatan tadika itu.

“Selepas diberitahu, saya tidak berani mendekati wanita terbabit, namun mengarahkan pembantu untuk melihat kondisi wanita itu. Setelah dimaklumkan wanita terbabit meninggal dunia, saya terus menelefon polis,” katanya.

Kaseh yang telah mengajar di tadika terbabit sejak 2005 bagaimanapun berkata, tidak pernah melihat wanita terbabit di sekitar pangsapuri tersebut.

Sementara itu, menurut pengawal keselamatan di situ, Ibrahim Kassim yang telah 10 tahun berkhidmat di pangsapuri terbabit mengakui wanita itu bukan penduduk di situ.

“Saya tidak pasti wanita ini datang dari tingkat berapa, namun difahamkan beliau terjun dari tingkat 12 hasil penemuan beg yang dipercayai milik wanita tersebut.

“Sepanjang 10 tahun bekerja, saya tidak pernah melihat wanita ini, malah hasil pertanyaan jiran-jiran juga tidak mengenali wanita terbabit,” katanya.

Wanita itu dipercayai telah datang ke pangsapuri terbabit kerana hasil kad pengenalan yang ditemui, beliau didapati berasal dari Tebrau, Johor Bahru.

Sementara, Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob mengesahkan kejadian terbabit.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan akan dijalankan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.
SH

No comments:

Post a Comment