Search This Blog

Sunday, March 20, 2011

Tiga pemuda temui ajal



BATU PAHAT - Tiga penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan yang membabitkan sebuah treler dan juga sebuah kereta di Kilometer 5, Jalan Bukit Pasir juga Kilometer 28.5 Jalan Kluang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, dalam kemalangan pertama dua pemuda maut dalam kemalangan jam 1.15 pagi di Kilometer 5, Jalan Bukit Pasir berdekatan Parit Bilal di sini.

Menurutnya, pemuda berkenaan mati di tempat kejadian apabila motosikal ditunggang mangsa ‘tersepit’ di bawah lori dipercayai ketika asyik berlumba.

“Amat menggerunkan apabila motosikal salah seorang mangsa kelihatan bulat seperti bola setelah tersepit di bawah treler tersebut. Mangsa yang maut adalah Muhammad Herman Jehia, 23, dari Kampung Parit Haji Dahlia, Yong Peng dan Mohd Iezwan Anuar, 18, dari Kampung Sri Wangi.

“Kejadian berlaku apabila kedua mangsa yang menunggang motosikal dikatakan cuba ‘menyelit’ di tengah-tengah di antara treler dan sebuah kereta. Bagaimanapun, motosikal tu dipercayai hilang kawalan dan terjatuh ke bawah lori dari arah bertentangan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lagi pemuda maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan kereta, tengah malam tadi di Kilometer 28.5 Jalan Kluang.

Mangsa yang maut adalah Hafedy Othman, 18, dari Kampung Parit Khalil, Ayer Hitam manakala pemandu kereta hanya cedera ringan.

“Dalam kejadian itu, pemandu kereta dikatakan membuat pusingan ‘U’ menghala ke Ayer Hitam, manakala penunggang motosikal dipercayai cuba memintas sehingga berlaku pertembungan,” katanya.

No comments:

Post a Comment