Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

theSun akan saman Nielsen



KUALA LUMPUR 2 Mac. - Penerbit akhbar harian theSun, Sun Media Corporation Sdn. Bhd. (SMC) akan menyaman syarikat penyelidikan pasaran, The Nielsen Company (Malaysia) Sdn. Bhd. kerana didakwa menerbitkan anggaran palsu dan mengelirukan mengenai jumlah pembaca akhbar itu.
Cadangan tindakan saman itu disiarkan di muka depan akhbar theSun dengan tajuk Absurd figures (Angka tidak munasabah) hari ini.
Tindakan SMC itu berikutan Nielsen didakwa secara salah menganggarkan jumlah pembaca akhbar theSun hanya 131,000 (seperti dilaporkan dalam akhbar The Star, 26 Februari lalu), berbanding 300,000 naskhah edaran setiap hari berdasarkan laporan audit bebas.
Muka depan theSun hari ini melaporkan, Audit Bureau of Circulations (ABC) yang secara bebas mengaudit jumlah edaran beberapa penerbitan telah mengesahkan bahawa edaran hariantheSun adalah 300,550 naskhah (tempoh 1 Julai 2009 hingga 30 Jun 2010).
Pengarah Urusan Sun Media, Chan Kien Sing dilaporkan berkata, dengan 300,000 naskhah edaran setiap hari, pihaknya tidak mampu memenuhi permintaan yang bertambah malah masih ada senarai panjang syarikat yang menunggu giliran dimasukkan dalam senarai pengedaran theSun.
Beliau memberitahu, SMC akan melakukan segala langkah untuk mempertahankan perniagaan dan reputasinya serta telah mengarahkan peguam syarikat mengambil tindakan undang-undang terhadap Nielsen dan menuntut ganti rugi berkaitan.
"Secara logik dan pemikiran waras, anggaran jumlah pembaca theSun oleh Nielsen tidak mungkin kurang daripada angka jumlah edaran yang diaudit oleh ABC. Malah, kami menganggarkan jumlah pembaca harian kami mencecah 900,000.
"Kami meminta para pembaca, pengiklan dan pihak yang terlibat dalam industri ini supaya mempersoalkan penemuan cacat dan tidak logik oleh Nielsen," katanya.
Kien Sing mendakwa, pihaknya yakin anggaran Nielsen adalah 'cacat' dan salah manakala laporan Nielsen diterbitkan secara sembrono dan tidak bertanggungjawab, tanpa penyiasatan yang teliti dan sempurna terhadap angka edaran sebenar atau jumlah pembaca theSun.
"Sebelum ini pun kami telah mengambil tindakan berhubung isu anggaran jumlah pembaca yang diterbitkan oleh Nielsen kerana kami menganggap angka itu adalah palsu, salah anggaran dan mengelirukan.
"Kami telah mengemukakan isu ini kepada Nielsen untuk menimbangkan faktor relevan lain yang memberi impak kepada metodologi penyelidikan dan rumusan, serta bukti bahawa anggaran jumlah pembaca theSun (oleh Nielsen) adalah palsu dan tidak tepat.
"Bagaimanapun, usaha tidak berjaya kerana Nielsen secara konsisten telah mengetepikan pandangan dan input SMC," tegasnya.
Dalam pada itu, Kien Sing berkata, SMC telah mengingatkan Nielsen bahawa anggaran jumlah pembaca yang palsu dan mengelirukan itu telah merosakkan perniagaan SMC dan reputasi perdagangan serta SMC turut mengalami kerugian yang besar.
"Walaupun kami memahami konsep jumlah penyebaran dan anggaran jumlah pembaca berlainan, namun kami percaya menjadi tanggungjawab Nielsen mempertimbangkan bukti-bukti lain yang relevan khususnya angka ABC.
"Anggaran yang diperoleh daripada kajian pensampelan rawak dan teori ekstrapolasi yang dilakukan Nielsen telah menghasilkan penemuan yang bercanggah," katanya.
"Percanggahan yang ketara kira-kira 50 peratus lebih rendah antara anggaran jumlah pembaca Nielsen dan jumlah edaran theSun membuktikan metodologi Nielsen dalam menentukan data pembaca theSun pada asasnya adalah 'cacat' dan boleh dipersoalkan," tegasnya.
Beliau menambah, adalah tidak boleh diterima dan tidak profesional bagi Nielsen tidak mempedulikan langsung terhadap angka penyebaran yang telah diaudit yang dikeluarkan oleh badan yang dihormati dan profesional seperti ABC.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment