Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Terpaksa jual aset untuk lunaskan hutang akibat pinjam ah long



JOHOR BAHRU 2 Mac – Kira-kira 60 peratus kes membabitkan pinjaman menerusi ceti haram atau ah long yang dikendalikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah berpunca daripada tabiat berjudi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Akwal Sultan berkata, keadaan itu mengakibatkan peminjam terpaksa menggunakan sumber pendapatan bagi melunaskan hutang dan selebihnya untuk keperluan asas termasuk membeli makanan.
Beliau berkata, bagi mengeluarkan peminjam daripada masalah tersebut, AKPK lazimnya akan menilai aset yang mereka miliki untuk membayar semula jumlah pinjaman.
“Apabila peminjam ah long datang ke AKPK, kita akan nasihatkan mereka untuk membuat bajet dan melaluinya kita akan cari jalan penyelesaian secepat yang boleh.
“Mungkin mereka kena jual aset untuk bayar balik pinjaman. Biasanya mereka yang mempunyai masalah ini jarang bercakap benar bahawa mereka meminjam wang daripada ah long,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (Power!) di Hotel Mutiara, di sini hari ini.
Program itu untuk mendidik setiap individu cara mengurus kewangan dengan baik sekali gus mengelakkan mereka dibelenggu masalah hutang keliling pinggang.
Mohamed Akwal berkata, selain masalah judi, peminjam juga biasanya meminjam daripada ah long kerana mengalami masalah kewangan dalam bidang perniagaan.
Beliau berkata, sejak 2006 hingga kini, seramai 142,574 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan hampir 54,116 pelanggan dibantu melalui program itu.
Menurutnya, sasaran program itu adalah golongan muda berumur antara 18 hingga 30 tahun dan ia menunjukkan keseriusan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama-sama AKPK membendung masalah hutang isi rumah lebih awal sebelum ia berada di luar kawalan.
Beliau memberitahu, program itu akan diperkenal melalui laman web AKPK pada Jun atau Julai ini bagi memudahkan orang ramai mengaksesnya secara percuma.
Mohamed Akwal berkata, program itu akan diadakan di tujuh lokasi pada tahun ini iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu.
Setakat ini, lebih 1,000 orang menyertainya iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka, katanya.
“Selepas ini kita akan adakan pula di Kota Kinabalu pada 9 Mac diikuti di Kuching (16 Mac) sebelum berakhir di Kuala Terengganu (30 Mac),” katanya.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment