Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

Subuh berdarah



KAMPUNG TELAGA - Seorang warga emas maut apabila motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah pacuan empat roda selepas selesai menunaikan solat Subuh di masjid, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.20 pagi di Kilometer 2 Jalan Kuala Berang-Sungai Tong (Kampung Telaga) itu, mangsa, Ismail Ali, 77, dari kampung Gaung, Teluk Dusun Durian menunggang motosikal sendirian dan dikatakan melintas secara tiba-tiba dari kiri ke kanan jalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, pada masa sama, sebuah pacuan roda jenis Nissan Frontier dari arah Kuala Berang menghala Sungai Tong dipandu Mohd Ismadi Isa, 36, seorang pengurus projek berasal dari Felda Jerangau, Dungun terlanggar mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, Ismail cedera parah pada bahagian kepala manakala Mohd Ismadi tidak mengalami kecederaan tetapi kenderaan dipandunya turut terbabas ke kanan jalan lalu merempuh tiang di hadapan sebuah rumah penduduk.

“Mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat, manakala pemandu kenderaan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Tengku Hamzah, pihak polis turut mengingatkan orang awam khususnya pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya serta mematuhi segala peraturan ditetapkan kerana kemalangan boleh berlaku di mana-mana serta bila-bila masa sahaja.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati orang ramai memenuhi tempat kejadian untuk mengetahui serta melihat sendiri kesan kemalangan, namun lalu lintas berjalan lancar dengan adanya anggota polis yang bertugas.

No comments:

Post a Comment