Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Serah RM83,000

JOHOR BAHRU: Bimbang dicederakan selepas diugut dengan parang oleh dua penjenayah, seorang lelaki menyerahkan wang tunai RM83,000 yang baru dikeluarkan dari sebuah bank di Seri Alam dalam kejadian pada 24 Februari lalu.
Dalam kejadian jam 2.17 petang itu, mangsa berusia 30-an yang berseorangan diekori tiga penjenayah warga asing ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kawasan berhampiran dengan menaiki kereta.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, penjenayah dipercayai mengekori kereta mangsa menaiki kereta Proton Wira.

“Sebaik berjaya memintas kereta lelaki itu, penjenayah terbabit terus mengacukan parang ke arah mangsa sebelum mereka melarikan diri selepas memperoleh wang.

“Berikutan itu, mangsa terus membuat aduan polis dan bertindak atas risikan dan maklumat awam, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Waja Utama, Johor Jaya beberapa jam kemudian dan menahan seorang suspek berusia 36 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, semalam.


Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menemui wang tunai RM74,000, Proton Wira dan dua bilah parang dipercayai digunakan suspek untuk mengugut mangsa.

Katanya, berdasarkan semakan rekod, tiga suspek terbabit dipercayai memasuki Malaysia secara sah sejak beberapa hari lalu.

“Kumpulan itu masuk ke negara ini semata-mata untuk melakukan jenayah dan kereta digunakan dilaporkan hilang di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Dua lagi suspek masih diburu dan dipercayai masih berada di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, pihaknya meminta kerjasama bank dan institusi kewangan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan kerja mengenal pasti penjenayah jika berlaku kejadian sama pada masa depan.


Menurutnya, polis turut meletakkan anggota berpakaian preman di beberapa bank dan lokasi strategik dalam usaha membanteras kegiatan itu daripada berlaku.


“Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan tanpa senjata api yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan,” katanya.myMetro

No comments:

Post a Comment