Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

Seludup manusia ke Malaysia



NEW DELHI 30 Mac — Seorang ahli politik India yang bersekongkol dengan seorang warga Pakistan yang berpangkalan di Malaysia, berselindung di sebalik sebuah agensi kebajikan sosial mungkin mendalangi siri penyeludupan manusia ke Malaysia, kata polis India.
Polis di daerah Kishanganj di Bihar percaya mereka dapat melumpuhkan kegiatan itu selepas empat pekerja India yang didakwa ditahan sebagai buruh, pulang ke kampung asal mereka Rabu lepas dan membuat pengakuan kepada polis mengenai pengalaman getir mereka.
"Kami menemui empat lelaki yang kembali ke Kishanganj dan kami berpendapat ada empat lagi di Malaysia.
"Berdasarkan cerita, mereka dipegang sebagai buruh kontrak dan bekerja di sebuah kilang pemasangan motosikal di sekitar Kuala Lumpur dan hanya dibayar RM50 hingga RM60 untuk makanan.
"Semasa soal siasat, kami menemui dokumen dan menunjukkan ini satu kes penyeludupan manusia. Kami telah memfailkan satu kes terhadap seorang ahli politik tempatan dan menyiasat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dijalankan oleh ahli politik itu," kata Penguasa Polis Kishanganj, Ranjit Kumar Mishra.
Siasatan awal polis menunjukkan kegiatan yang terancang itu beroperasi dari Bihar, Siliguri di Barat Bengal dan Chennai yang kerap digunakan penyeludup manusia dan dadah sebagai pintu masuk ke Malaysia.
Pendedahan mengejutkan ini hanya beberapa minggu selepas diplomat kanan Malaysia di Chennai memberi amaran bahawa agensi pengambilan tenaga kerja yang licik tersebar di seluruh India terbabit dalam memalsukan visa Malaysia untuk menghantar pekerja ke Malaysia.
Sekurang-kurangnya 95 kes pemalsuan visa Malaysia terbongkar sejak tiga bulan lepas, manakala berdozen lagi menyelinap ke Malaysia tanpa pengetahuan pihak berkuasa, kata Konsul Jeneral Malaysia yang berpangkalan di Chennai, Anuar Kasman awal bulan ini.
Episod Kishanganj mungkin hanya satu kebocoran kecil dalam kegiatan penyeludupan manusia yang menguntungkan atau malah operasi jenayah, memandangkan polis masih mengumpul keterangan yang mungkin mengaitkannya kepada jenayah yang lebih kejam.
"Kami sedang menyiasat jika ini ada kaitan dengan jenayah lain di negeri lain atau penyeludupan manusia digunakan sebagai satu alibi (untuk kegiatan lain)," kata Ranjit Kumar.
Ramai golongan lelaki dan wanita muda ingin mencari rezeki di seberang laut terus menjadi mangsa kepada penyeludup manusia yang licik, yang kerap menyamar sebagai agensi pencari tenaga kerja tulen yang terletak di kawasan pedalaman India.
Pada akhir 2008, lima wanita dari negeri termiskin di timur laut India mendakwa diambil bekerja oleh sebuah agensi berpangkalan di Singapura untuk bekerja di republik itu tetapi kemudiannya diminta untuk bekerja di kelab-kelab malam di Kuala Lumpur.
Kesemua mangsa dapat melepaskan diri daripada cengkaman penakluk mereka dan pulang ke kampung masing-masing.
Penyeludupan manusia antarabangsa itu kerap menggunakan Malaysia sebagai pusat transit strategik untuk menghantar mangsa mereka. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment