Search This Blog

Sunday, March 6, 2011

Rumah ibu tunggal terbakar




MOHD. Hamdani Madon (dua dari kiri) menerangkan kepada Ismail Mohamed Said (tengah) mengenai kebakaran rumah Besah Tahir di Kampung Guntung Kelibang, Temerloh, kelmarin.


TEMERLOH 5 Mac – Hajat seorang ibu tunggal untuk membaik pulih rumahnya dengan bantuan kerajaan negeri tidak kesampaian apabila kediamannya itu di Kampung Guntung Kelibang, di sini, terbakar semalam.
Rumah papan separuh batu itu baru sahaja diluluskan bagi menerima bantuan baik pulih sebanyak RM10,000 selepas dilawati Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Isnin lalu.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, Besah Tahir, 70, bersama tiga anak dan seorang cucu berada dalam rumah apabila api tiba-tiba muncul lalu membakar bahagian depan rumah mereka.
Seorang saksi yang juga jiran Besah, Siti Aishah Abdul Rahman berkata, dia berada di rumah dan tiba-tiba terkejut dengan bunyi letupan kuat berhampiran rumahnya.
“Saya ingat ada kereta kemalangan, saya buka tingkap nampak api kecil di bahagian depan rumah Besah. Saya dan anak menjerit supaya mereka keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Turut hadir melawat, calon Barisan Nasional (BN) Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Guntung Kelibang, Hamid Janal berkata, mangsa dan anaknya dibawa hospital berdekatan untuk menerima rawatan kerana melecur di belakang badan.
Dalam pada itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Daerah, Mohd. Hamdani Madon berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh dikerahkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada pukul 7.46 pagi.
Menurutnya, anggotanya berjaya mengawal api dalam tempoh tiga minit dan kebakaran dapat dipadam sepenuhnya kira-kira pukul 8.25 pagi.
“Kerugian dianggarkan RM110,000 termasuk rumah, perabot dan peralatan dalam rumah termasuk sebuah motosikal,” katanya.
Katanya, punca kebakaran masih belum diketahui dan akan menunggu pihak forensik untuk melakukan siasatan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said yang menziarah keluarga terbabit berkata, kerajaan akan membina rumah baru menerusi Projek Bantuan Rumah (PBR) di bawah seliaan RISDA bagi menggantikan rumah lama milik mangsa yang terbakar.
Menurutnya, nilai rumah baru itu sekitar RM33,000 dan akan dibina sebaik sahaja bomba selesai menjalankan siasatan.
Menurutnya, beliau akan cuba mendapatkan bantuan bencana RM5,000 daripada kerajaan negeri.Utusan Malaysia Online - Pahang

No comments:

Post a Comment