Search This Blog

Sunday, March 6, 2011

Rumah hangus dijilat api

SH


KERDAU – Kehangatan berkempen hari terakhir Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau semalam tergendala seketika apabila sebuah rumah didiami ibu tunggal di Kampung Guntung Kelibang hangus dalam kebakaran.

Rumah papan separuh batu itu baru sahaja diluluskan bagi menerima bantuan baik pulih sebanyak RM10,000 selepas dilawati Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob Isnin lalu.

Dalam kebakaran awal pagi itu mangsa Besah Tahir 70, bersama tiga anak dan seorang cucu berada dalam rumah apabila api tiba-tiba muncul lalu membakar bahagian depan rumah mereka.

Menurut saksi yang juga jiran Besah, Siti Aishah Abdul Rahman berkata, kira-kira jam 7.30 pagi ketika dia berada di rumah tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi letupan kuat berhampiran rumahnya.

“Saya ingat ada kereta kemalangan, saya buka tingkap nampak api kecil di bahagian depan rumah Besah. Saya dan anak jerit supaya mereka keluar dari rumah.

“Dalam masa beberapa minit api terus marak dan membakar semua bahagian hadapan rumah,” katanya sewaktu ditemui semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Guntung Kelibang Hamid Janal berkata, mangsa dan anak dibawa mendapatkan rawatan di hospital sebaik kejadian kerana mengalami lecur di belakang badan.

Pegawai Bomba Daerah Mohd Hamdani Madon berkata, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh dikerahkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira jam 7.46 pagi semalam.

Menurutnya, pihaknya tiba kira-kira jam 8.04 pagi berjaya mengawal api dalam tempoh tiga minit dan kebakaran dapat dipadam sepenuhnya kira-kira jam 8.25 pagi.

“Kerugian dianggarkan RM110,000 termasuk rumah, perabot dan peralatan dalam rumah termasuk sebuah motosikal,” katanya sewaktu ditemui di tempat kejadian.

Turut hadir melawat keluarga tersebut pagi semalam, calon Barisan Nasional (BN) Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau berkata, punca kebakaran masih belum diketahui dan akan menunggu pihak forensik melakukan siasatan.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said antara yang awal menziarah keluarga terbabit berkata, kerajaan akan membina rumah baru di bawah Projek Bantuan Rumah (PBR) di bawah agensi Risda bagi menggantikan rumah lama milik mangsa yang hangus terbakar.

Menurutnya, nilai rumah baru itu sekitar RM33,000 dan akan dibina sebaik siasatan bomba selesai dijalankan.

“Kita akan bersihkan tapak rumah ini dalam tempoh segera selepas selesai siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mengambil langkah segera membantu keluarga itu sebagai tanda prihatin dengan apa yang berlaku.

Menurutnya, beliau percaya kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan bencana RM5,000 kepada keluarga terbabit seperti yang diberikan kepada mangsa-mangsa bencana lain sebelum ini.

No comments:

Post a Comment