Search This Blog

Sunday, March 6, 2011

Rumah bintang Oscar hangus





2011/03/06

KAWASAN setinggan di Mumbai hangus termasuk milik keluarga Rubina (gambar kecil).

500 kediaman setinggan Mumbai terbakar

MUMBAI: Sebanyak 500 kediaman setinggan termasuk rumah bintang kanak-kanak Slumdog Millionaire, Rubina Ali musnah dalam kebakaran besar yang berlaku berdekatan stesen kereta api Bandra di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian yang di kawasan setinggan yang padat itu, lima penghuninya dilaporkan hilang.
Ketika berusia 12 tahun, Rubina berlakon watak Latika dalam filem arahan Danny Boyle itu yang memenangi anugerah Oscar pada 2008.
Dia kehilangan semua kenangan Oscar termasuk gambar, keratan akhbar dan anugerah yang diterimanya.

“Rumah dan segala kenangan saya ketika berlakon semuanya musnah. Buku sekolah saya juga hangus. Tetapi, saya lega kerana semua ahli keluarga selamat. Kebakaran sungguh besar,” katanya.

Katanya, dia dan anggota keluarganya yang lain sedang menonton televisyen apabila mendengar jeritan mengenai kebakaran dan segera keluar menyelamatkan diri.

Rubina adalah bintang kanak-kanak yang berjaya menyentuh hati Hollywood sebelum kembali pulang ke kehidupan asalnya.
Rubina berkata, keluarganya belum lagi berpindah ke apartmen baru yang dibayar menerusi yayasan yang diwujudkan oleh Boyle.

Akhbar Britain, Daily Mail memetik bapa kanak-kanak itu, Rafiq Ali sebagai berkata, selepas anaknya popular, rumahnya menjadi lebih istimewa.

“Melihatkan semuanya musnah menjadi abu di depan mata, saya rasa kehilangan segala-galanya. Ini saja yang kami ada,” katanya.

Kebakaran yang bermula dari sebuah rumah itu bertambah marak kerana angin bertiup kencang.

Seorang saksi berkata: “Jika kebakaran itu tidak dikawal, saya yakin ia akan melumpuhkan sama sekali kota Mumbai.”

Lebih 25 kereta bomba dikejarkan ke tempat kejadian. – Agensi
Berita Harian Online | Rumah bintang Oscar hangus

No comments:

Post a Comment