Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Rebah badan elak ditembak

;KUALA LUMPUR: Tindakan pantas tiga anggota polis bertindak merebahkan badan berjaya menyelamatkan nyawa mereka dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan seorang lelaki di Jalan Rimbunan Raya, Taman Rimbunan, Kepong, di sini, tengah malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, ketiga-tiga anggota polis bahagian rondaan terbabit dilaporkan cuba menahan suspek berusia 30-an selepas mendapati kereta jenis Perodua Myvi yang diletakkan di kawasan berkenaan adalah kereta curi.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, selepas menunggu kira-kira 30 minit di kawasan berkenaan, ketiga-tiga anggota polis terbabit melihat seorang lelaki menghampiri kenderaan itu.

“Dua daripada anggota polis itu segera menghampiri suspek untuk melakukan pemeriksaan. Namun, suspek bertindak agresif sebelum menyerang anggota polis itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.

“Ketika bergelut, suspek bertindak mengeluarkan sejenis pistol jenis revolver sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka,” katanya.


Menurutnya, tindakan pantas dua anggota polis itu merebahkan badan sebelum bertindak membalas tembakan berjaya menyelamatkan nyawa mereka.

“Selepas beberapa minit berbalas tembakan, suspek berjaya masuk ke dalam kereta berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya.

Zainuddin berkata, gerakan memburu suspek segera dilakukan dan hasilnya kereta terbabit ditinggalkan di lorong kira-kira satu kilometer dari kawasan berkenaan.
myMetro

No comments:

Post a Comment