Search This Blog

Saturday, March 12, 2011

Polis terima laporan kes keluarga diugut bunuh


KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat kes ugutan bunuh oleh seorang lelaki warga Nigeria ke atas satu keluarga akibat tidak berpuas hati selepas mangsa melaporkan perniagaan haram dijalankan suspek.
Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh, berkata pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

Menurutnya, mangsa berusia 43 tahun itu sudah membuat laporan polis di Balai Polis Batu 9, Cheras November lalu dan pihaknya akan meneliti laporan perubatannya yang didakwa ditumbuk suspek berusia 40-an.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengugut dan memukul,” katanya, di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ada berlaku perselisihan faham antara kedua-dua pihak akibat masalah perniagaan.

Bagaimanapun, katanya, kes berkenaan tidak dipandang ringan kerana membabitkan ugutan bunuh.

Akhbar ini semalam melaporkan seorang isteri dan ahli keluarganya kini hidup dalam ketakutan selepas menerima ugutan bunuh daripada seorang lelaki warga Nigeria yang tidak berpuas hati selepas suami mangsa melaporkan perniagaan haram dijalankannya.

Difahamkan, suspek juga ada kaitan dengan kumpulan samseng yang aktif di Cheras membuatkannya berani bertindak mengugut dan membelasah suami mangsa.

No comments:

Post a Comment