Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

Polis kesal mangsa lewat diselamatkan



KUALA ROMPIN - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin meluahkan rasa kesal terhadap kegagalan agensi terlibat membantu operasi mencari dan menyelamat empat mangsa bot karam di Perairan Tanjung 100, Kuala Rompin, malam Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, kegagalan pihak terbabit menyebabkan kesemua mangsa terperangkap di laut lebih 12 jam.

Menurutnya, pihaknya kecewa kerana bantuan gagal disalurkan dan mujur kesemua mangsa ditemui selamat, kelmarin.

“Polis kecewa kerana tiada usaha menyelamat dilakukan agensi terlibat bagi memastikan nyawa empat mangsa bot karam dapat diselamatkan dengan cepat,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam Sinar Harian melaporkan, empat pekerja bot kargo nyaris lemas selepas terpaksa bertarung nyawa lebih 12 jam di tengah lautan apabila bot yang mereka naiki karam.

Keempat mangsa berkenaan ialah tekong bot, Sani Awang Ali, 57, dan Fong Tong Loi, 61, masing-masing beralamat di Kampung Bahagia Mersing, manakala Shah Lenggok, 33, dan Irawan Tiow, 27, dari perkampungan Orang Asli Kampung Labung, Endau, Mersing.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, bot kargo terbabit dalam perjalanan dari Endau Tanjung Gemok menuju ke Jeti Jabatan Laut Bandar Lama, Kuala Rompin.

Johari berkata, polis telah menghubungi pihak terbabit sebaik sahaja menerima laporan berhubung kejadian bot karam, namun kesal apabila kerja-kerja mencari dan menyelamat tidak dilakukan pihak berkenaan pada hari kejadian.

“Polis sudah hubungi mereka (pihak bertanggungjawab) bagi membantu usaha mencari dan menyelamat mangsa kerana kita khuatir nyawa mereka boleh terancam jika tiada bantuan dihulurkan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, polis berterima kasih kepada Persatuan Memancing Kuala Rompin yang sudi menyediakan dua bot bagi membantu usaha mengesan mangsa.

“Kita berterima kasih kepada orang awam yang prihatin membantu mangsa bot karam ini dan kita berharap kes seperti kelewatan bantuan dan sebagainya tidak lagi berlaku pada masa akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment