Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Penganggur didakwa bunuh ibu

KUALA PILAH: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan membunuh ibunya di rumah mereka di Felda Kepis, dekat sini, bulan lalu.
Mohd Hirman Sah Sohaimi, 28, yang memakai baju lokap biru dan berseluar ungu itu tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Muhammad Hafiz Mohd Noor. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hirman didakwa menyebabkan kematian Jemelah Muhamad, 54, di rumah bernombor 334, Blok 3B, Felda Kepis, Kuala Pilah, kira-kira jam 8 malam, 18 Februari lalu.

Berikutan itu, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muhammad Hafiz menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 1 April depan.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mahmud Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan supaya tertuduh menjalani pemeriksaan dan pemantauan lanjut di wad psikiatri hospital ditetapkan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan wanita warga emas itu merintih kesakitan dalam keadaan tubuhnya berlumuran darah selepas menjadi ‘korban’ anak lelakinya di rumah mereka di Felda Kepis, Bahau.

Difahamkan, kejadian itu amat menyayatkan hati apabila pekerja kantin sekolah berkenaan dikelar dan ditikam beberapa kali di dada menggunakan pisau oleh suspek berusia 28 tahun.

Lebih memilukan apabila mangsa yang ketika itu mahu tidur kerana kepenatan menjerit meminta pertolongan sebelum keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri walaupun parah.


Akibat kecederaan teruk dialaminya, wanita berkenaan menghembuskan nafas terakhirnya ketika menerima rawatan di hospital pada keesokan harinya.
myMetro

No comments:

Post a Comment