Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

Penduduk sekitar Sungai Golok waspada


KOTA BHARU: Semua penduduk yang tinggal di kawasan rendah terutama di sepanjang Sungai Golok diminta lebih berwaspada berikutan paras air sungai berkenaan mencatat paras berjaga-jaga, iaitu 8.31 meter, berdasarkan rekod Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kira-kira jam 6 petang semalam.
Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Negeri, Mohamad Roslee Mamat berkata, amaran itu diberikan berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu di negeri ini menyebabkan paras air di Sungai Golok berada pada tahap kuning (berjaga-jaga) dan menghampiri paras bahaya, iaitu 9 meter.

“Saya meminta kepada semua penduduk yang tinggal di kawasan sekitar Sungai Golok supaya lebih berwaspada untuk berdepan dengan limpahan air sungai di kawasan itu, malah hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air berada pada tahap berjaga-jaga.

“Berikutan itu, saya sudah mengarahkan pihak berkuasa untuk membuat pemantauan mengenai situasi di kawasan berkenaan sekali gus membolehkan tindakan segera dilakukan jika berlaku limpahan air sungai,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Berdasarkan data yang diperoleh menerusi laman web Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), beberapa sungai di negeri ini seperti Sungai Galas di Dabong, Sungai Golok di Jenob, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Kuala Krai, Empangan Pergau dan Sungai Kelantan di Jeti, Kastam berada pada tahap normal.

Bagaimanapun, bacaan sehingga jam 6 petang semalam, menunjukkan hanya Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras berjaga-jaga iaitu 8.31 meter, berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Pengarah JPS Negeri, Abu Bakar Mohd Yusof berkata, kenaikan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang berlaku akibat hujan lebat di negara jiran beberapa hari lalu.

Katanya, kenaikan paras air itu menyebabkan berlakunya limpahan air sehingga mengakibatkan paras air sungai meningkat.
“Belum ada tanda menunjukkan banjir akan berlaku di negeri ini, meskipun hanya sebuah sungai saja menunjukkan peningkatan. Bagaimanapun, limpahan air sungai mungkin akan memasuki kediaman penduduk sekali gus menyebabkan banjir kilat berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment