Search This Blog

Sunday, March 6, 2011

Pemilik farmasi rugi RM50,000

SH


BALING – Seorang pemilik farmasi di Pekan Baru Baling terpaksa menanggung kerugian lebih RM50,000 apabila kedainya hangus dalam kebakaran yang berlaku pada jam 10.30 malam, kelmarin.

Kebakaran itu disedari peniaga, Lim Ah Chok, 70, yang sedang minum berhampiran bangunan kedai itu apabila melihat kepulan asap tebal.

“Saya nampak asap berkepul keluar dari arah bangunan ini, lantas berlari pulang bagi memastikan kebakaran ini tidak berpunca dari kedai saya.

“Setibanya di sana, saya dapati farmasi yang terletak bersebelahan kedai saya marak terbakar, lalu meminta pertolongan orang awam untuk membuat panggilan kecemasan,” katanya di sini.

Ah Chok berkata, dia menjerit sekuat hati ketika kebakaran itu berlaku kerana bimbang terdapat penghuni dalam bangunan berkenaan.

Sementara itu, pemilik farmasi, Zulkifli Abdullah, 36, berkata, dia menerima panggilan telefon melalui kawannya mengenai kebakaran yang berlaku di farmasinya itu selepas pulang mesyuarat di Alor Setar.

Menurutnya, dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati stor menyimpan ubat dan peralatan kesihatan hangus dalam kebakaran itu.

“Semua ubat-ubatan dan peralatan kesihatan itu baru dimasukkan ke dalam stor berkenaan dan saya tidak sangka sekelip mata kejadian ini berlaku.

“Tetapi saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku walaupun terpaksa menanggung kerugian yang banyak,” katanya.

Pembantu farmasi, Azrinawati Omar, 25, berkata, dia dan seorang lagi staf menutup kedai itu pada jam 10 malam setiap hari dan sentiasa memastikan semua peralatan elektrik ditutup sebelum keluar.

Jurucakap Jabatan Bomba Dan Penyelamat Daerah berkata, mereka menerima panggilan pada jam 10.39 malam.

Menurutnya, api berjaya dikawal kira-kira tujuh minit sebelum ia merebak ke bangunan berdekatan dan kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas, namun mereka masih lagi membuat siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment