Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

Pelajar maut motosikal bertembung kereta



JERTIH - Seorang pelajar Tingkatan Empat maut apabila motosikal yang dibonceng bersama rakannya bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan di kampung Tempinis dekat Renek, pagi semalam.

Fadqul Hisham Abdullah, 16, meninggal dunia ketika dalam perjala-nan ke hospital akibat kecederaan parah di kepala manakala rakannya menunggang motosikal terbabit Mohd Badruldin Abd Rahman, 17 dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Besut, di sini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi berkata, dalam kejadian jam 7.30 pagi sahabat baik itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Renek ke Tembila untuk ke sekolah mereka di Sekolah Menengah Teknik Besut dekat kampung Raja.

Menurutnya, sebelum itu kedua mereka dari Felda Selasih mengekori belakang sebuah kereta tetapi secara tiba-tiba kenderaan di depannya dikatakan berhenti secara mengejut menyebabkan motosikal mangsa gagal dikawal lalu terbabas ke laluan sebelah dan bertembung dengan Perodua Kancil yang datang dari arah bertentangan.

“Permukaan jalan ketika itu licin kerana hujan renyai-renyai manakala pemandu Kancil cuba mengelak tetapi gagal lalu merempuh motosikal dinaiki mangsa.

“Mangsa terpelanting di atas bonet depan kenderaan tersebut namun pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kamaruddin berkata, mangsa dikatakan sering menumpang motosikal rakan karibnya itu untuk ke sekolah.

No comments:

Post a Comment