Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Pati terjun laut elak diberkas

SH


GONG KEDAK - Semata-mata ingin mengelak diberkas pihak berkuasa, seorang pendatang tanpa izin (Pati) lelaki sanggup terjun ke laut walaupun tindakan itu menyebabkan dia nyaris lemas.

Dalam operasi membabitkan Jabatan Imigresen bersama anggota Rela di kampung Pantai Kuala Besut, kelmarin, seorang buruh bangunan warganegara Indonesia berenang ke arah laut untuk memboloskan diri bersama rakannya.

Bagaimanapun tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menyelamatkan lelaki berusia 30-an itu bersama rakannya yang bekerja sebagai buruh binaan di tapak projek Rumah Pangsa Kuala Besut di sini.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Terengganu, Vikneswaran berkata, lelaki itu salah seorang daripada 43 Pati yang ditahan dalam operasi sehari di sekitar daerah ini.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 24 lelaki dan lima wanita Indonesia serta 14 Bangladesh yang berumur antara 20 hingga 56 tahun.

“Antara kesalahan warga asing itu termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan,” katanya dalam operasi yang membabitkan seramai 35 kakitangan termasuk 20 anggota Rela.

Vikneswaran berkata, operasi dijalankan di lima lokasi yang telah dikenal pasti lebih awal antaranya tapak projek pembinaan rumah teres di Kampung Lay Out Padang Luas, projek rumah pangsa Kuala Besut dan tapak projek dua sekolah.

Menurutnya, ada juga Pati yang menyorok di dalam tangki air di atas siling rumah yang sedang dibina untuk mengelak ditahan, tetapi taktik mereka tidak berjaya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati ada majikan yang berdegil kerana masih menggaji Pati, walaupun telah dikenakan tindakan sebelum ini.

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa di Malaysia.

Beliau turut memberi amaran kepada majikan terutama pengusaha premis makanan agar tidak menggaji Pati terutama dari Thailand kerana tindakan tegas akan dikenakan.

“Mana-mana restoran atau kedai makan yang menggaji pekerja asing bawah umur pula khususnya wanita dari Thailand boleh didakwa di bawah Akta Pemerdagangan Orang 2007,” katanya.

No comments:

Post a Comment