Search This Blog

Sunday, March 20, 2011

Pati makin ramai



GUAR CHEMPEDAK - Penduduk di daerah ini mendakwa kebanjiran pendatang asing tanpa izin (Pati) semakin berleluasa sehingga menimbulkan kerisauan kepada mereka.

Pati yang kebanyakan terdiri daripada warga Myanmar dan Indonesia itu dikatakan mewujudkan penempatan mereka di dalam ladang getah untuk menggelakkan dari dilihat oleh pihak berkuasa.

Seorang penduduk, Hamzah Hussin, 54, berkata, kebanjiran Pati memang terasa kerana kebanyakan penoreh getah di sini hilang pekerjaan.

“Semua orang tahu, Pati tidak kisah soal gaji. Walaupun pendapatannya sedikit mereka tetap bekerja. Majikan mestilah nak kurangkan kos perbelanjaan. Orang kita (warga tempatan) pula bukan memilih tetapi mereka mempunyai keluarga yang harus di sara. Jadi pendapatan yang rendah pasti membuatkan mereka mencari pekerjaan lain.

“Disebabkan itulah kebanyakan ladang getah di sini dikuasai oleh Pati. Saya bersyukur kerana harga getah kita meningkat. Tetapi, yang untungnya bukan kita, tetapi majikan-majikan ini.” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, lebih 10 khemah Pati dibina atas bukit di setiap ladang getah sekitar daerah ini.

“Bayangkan, setiap ladang mempunyai Pati. Berapa banyak ladang di dalam daerah ini. Itu belum masuk Bukit Perak lagi.

“Saya hairan mengapa isu Pati ini seolah-olah dipandang remeh dan tindakan yang dilakukan tidak konsisten sehingga Pati sewenang-wenangnya boleh masuk ke daerah ini,” katanya.

Sehubungan itu, Sinar Harian melakukan tinjauan di beberapa ladang getah sekitar daerah ini dan kewujudan khemah itu adalah benar.


Majikan suruh lari


Warga asing yang hanya dikenali sebagai Ambritha, 28, berkata, dia telah berada di daerah ini lebih daripada tiga tahun.

“Saya kerja di sebuah kilang di daerah ini. Majikan saya cakap saya kena duduk dalam kebun ini kerana tempat ini selamat berbanding di dalam kilang.

“Saya tinggal di sini bersama enam orang rakan. Setiap minggu kami akan keluar ke pekan untuk mendapatkan makanan. Saya tidak takut kerana saya tidak ganggu orang. Lagipun orang kampung di sini semua baik,” katanya.

Ambrita yang enggan gambarnya diambil berkata, dia ke sini melalui ejen daripada Kemboja.

“Saya memang tidak tahu pasal permit. Ejen itu cakap cuma bayar duit dan kami boleh datang ke sini. Dokumen saya yang lain semuanya majikan saya pegang,” katanya.

Ambrita berkata, setakat ini belum pernah ada operasi yang melibatkan pihak berkuasa yang datang ke kebun ini.

“Majikan saya selalu berpesan, kena lari daripada mereka (pihak berkuasa). Disebabkan itulah kami bina khemah ini di kawasan tinggi supaya senang untuk melihat kehadiran pihak berkuasa,” katanya.


Selesa masuk negara secara sah



Sementara itu, seorang pekerja restoran, Nawawi Abdul Salang daripada Indonesia berkata, Pati sememangnya akan memberikan kesan yang tidak baik.

“Saya tinggal di negara ini lebih dari 10 tahun, saya tidak perlu takut jikalau terserempak dengan pihak berkuasa.

“Bagi Pati, mereka akan hidup dalam keadaan tertekan dan tidak selesa. Disebabkan itulah mereka membina penempatan di atas bukit untuk mengelakkan diri mereka ditahan,” katanya.

Menurutnya, Malaysia memang negara yang kaya dengan punca rezeki.

“Saya tidak nafikan ramai rakan-rakan saya berhijrah ke negara ini untuk mencari rezeki. Saya tahu, datang secara haram akan menyusahkan diri saya. Disebabkan itulah saya datang ke sini secara sah dan tidak menyusahkan sesiapa,” katanya.

No comments:

Post a Comment