Search This Blog

Sunday, March 13, 2011

Pasangan kekasih parah




RHU KUBUR - Pemandu dan penumpang sebuah kereta cedera parah apabila kereta yang naiki bertembung sebuah kenderaan dari arah bertentangan kira-kira 10.30 pagi di Kilometer 58.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Rhu Kubur di sini, semalam.

Mangsa ialah Mohd Amirul Akmal Che Aziz, 20, beralamat dari Jengka, Pahang yang memandu kereta jenis Perodua Viva, penumpang dipercayai teman wanitanya, Nurul Aqilah Aziz, 19, pula beralamat dari kampung Cerang Manir, Kuala Terengganu.

Mereka dikejarkan ke Hospital Dungun oleh ambulans sebaik dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat manakala pemandu sebuah lagi kenderaan, Gue Ah Peng, 49, bersama tiga lagi penumpang hanya cedera ringan.

Difahamkan ketika kejadian Mohd Amirul dan Nurul Aqilah dalam perjalanan dari Dungun ke Kuala Terengganu.

Kereta mangsa bertembung selepas dipercayai gagal masuk semula ke lorongnya apabila memotong dua buah kenderaan termasuk sebuah bas.

Manakala kereta Mitsubishi Pajero dipandu Ah Peng datang dari arah yang bertentangan.

Menurut Ah Peng, kejadian tersebut berlaku begitu pantas, dia tidak sempat mengelak apabila kereta dipandu Mohd Amirul sudah berada di hadapan kenderaannya dengan laju.

“Salah seorang penumpang kereta ini sempat melihat mereka keluar lorong tetapi saya gagal untuk mengelak kerana dia memandu dengan laju untuk masuk semula ke lorongnya selepas memotong,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Bagaimanapun, Ah Peng dan tiga penumpang kenderaan itu bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius walaupun kenderaan empat pacuan roda rosak teruk di bahagian hadapan akibat pertembungan dengan kereta tersebut.

Sementara itu, salah seorang penumpangnya yang enggan namanya disiarkan berkata, mereka juga bernasib baik kerana bas yang berada di laluan bertentangan tidak merempuh kenderaan mereka selepas terlibat dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan mengenai keja-dian itu.

No comments:

Post a Comment