Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Parah dirempuh lori

SH


BUKIT PAYONG - Seorang pekerja yang menjalankan kerja-kerja mengukur jalan parah setelah dilanggar sebuah kenderaan di Kilometer 15.5 Jalan Kuala Berang ke Kuala Terengganu di Padang Mengkuang di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa, Mohd Rafi Endut, 27, yang beralamat dari Kuala Pueh dekat Kuala Berang, Hulu Terengganu berada di kiri jalan sebelum dirempuh dengan kuat sebuah lori dari arah Kuala Berang ke Kuala Terengganu.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa tercampak kira-kira 10 meter dari tempat kejadian dan mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala manakala pemandu lori terbabit kemudiannya terbabas lalu melanggar tiang dan terbalik di kiri jalan.

Mangsa seterusnya dikejarkan ke hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu manakala pemandu lori tersebut difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Rakan sekerja mangsa yang ditemui di tempat kejadian, Amir Nizam Zaid, 23, berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan dia hanya mendengar dentuman kuat sebelum melihat mangsa terbaring kira-kira 10 meter dari tempat mereka bekerja.

“Ketika kejadian saya sedang menyusun kon di kiri dan kanan jalan manakala empat lagi pekerja termasuk mangsa berada berdekatan.

“Kejadian itu berlaku terlalu pantas, selepas dentuman kuat kedengaran saya berpaling ke arah rakan.

“Mereka tergamam apabila melihat salah seorang daripada kami iaitu mangsa sudah terbaring di kiri jalan dalam keadaan muka yang berlumuran darah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Amir berkata, mereka kesal dengan sikap pemandu terbabit kerana tidak berhati-hati ketika melalui jalan itu kerana kon keselamatan telah diletakkan sebagai peringatan selain setiap pekerja yang terlibat telah memakai jaket keselamatan.

Sementara itu, jurucakap pihak HSNZ ketika dihubungi memberitahu mangsa mengalami patah rahang selain luka-luka di bahagian muka dan badan akibat rempuhan tersebut.

Ketika dihubungi pada jam 5 petang semalam, beliau memaklumkan keadaan mangsa stabil dan dipindahkan ke wad biasa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya setelah dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian kemalangan tersebut.

No comments:

Post a Comment