Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Misteri kehilangan buruh binaan terjawab

SH


KUALA NERUS- Misteri kehilangan seorang buruh binaan Indonesia selama dua hari terjawab setelah dia ditemui dalam keadaan terlentang di gigi air muka kuala pantai Tanjung Gelam, di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian itu ditemui rakan sekerja yang sama-sama mencarinya kerana bimbangkan keselamatan mangsa yang tidak pulang selepas keluar memancing dua hari lalu.

Salah seorang rakan mangsa yang hanya mahu dikenali Sugiono, 40, dari Madura, Jawa Timur berkata, mangsa, Mohd Salleh, 27, juga dari Madura, Jawa Timur keluar seorang diri pada 28 Febuari kira-kira jam 10 malam dan tidak pulang sehingga semalam.

“Pada awalnya kami tidak menyangka perkara buruk berlaku kerana yakin, mungkin dia pergi ke rumah kongsi rakannya yang berhampiran tetapi selepas dua hari dia hilang dan langsung tidak nampak kelibatnya di tapak projek, maka, kami merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Jadi, hari ini kami sepakat mencarinya beramai-ramai dan amat terkejut setelah ternampak mayat mangsa terapung di gigi air muka kuala dengan mulut berdarah dan keadaannya memang begitu menyayat hati,” katanya.

Menurut Sugiono, mangsa baru sahaja bekerja di tapak pembinaan projek di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam tempoh tidak sampai setahun dan sentiasa keluar memancing seorang diri kerana difahamkan dia memang minat memancing.

Namun, katanya, mereka sepakat akan membuat laporan polis seandainya usaha mencari mangsa gagal semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan penemuan mayat tersebut dan siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mati kerana lemas.

No comments:

Post a Comment