Search This Blog

Saturday, March 12, 2011

Menyamun hendak berjudi


MELAKA: Tiga lelaki anggota sebuah kumpulan penjenayah dikenali ‘Kumpulan Ah Nga’ yang dikesan aktif melakukan samun dengan taktik berpura-pura menyewa kedai atau premis tertentu di Johor, Negeri Sembilan, Perak dan negeri itu sejak tiga tahun lalu, akhirnya ditumpaskan dalam satu operasi polis pertengahan bulan lalu.
Difahamkan, suspek penjenayah berusia 44 hingga 51 tahun itu dikesan melakukan samun sejak 2008 hingga 2010 sebelum menggunakan hasil rompakan untuk membiayai tabiat keji mereka yang gemar berjudi dan berhibur.

Mendedahkan kejayaan berkenaan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata ketiga-tiga suspek yang sememangnya disenaraikan sebagai individu paling dikehendaki, akhirnya ditahan hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah (IPD) melakukan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek pada 17 Februari lalu, jam 12.05 tengah malam di tepi jalan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) menghala pusat bandar.

Katanya, tangkapan dibuat selepas mereka disyaki terbabit dalam kes samun dengan modus operandi berpura-pura menyewa kedai di sekitar negeri itu.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas dua kereta iaitu Proton Iswara dan Perodua Kancil, sebilah parang, satu cota berwarna hitam, seikat tali, satu gulung pita pelekat, empat telefon bimbit, tiga jam tangan dan rantai leher emas serta jed hijau.

“Kita percaya selain parang dan cota berkenaan, tali dan pita pelekat itu digunakan untuk mengikat serta menutup mulut mangsa,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK), di sini semalam.

Raja Shahrom berkata, siasatan terhadap semua suspek mendapati mereka menyamun kedai atau premis dengan menggunakan maklumat yang disiarkan dalam surat khabar.
“Anggota Kumpulan Ah Nga ini akan menghubungi nombor talian kedai atau premis yang diiklan dalam surat khabar dan berpura-pura mahu menyewa. Mereka kemudian mengadakan pertemuan dengan pemilik premis dan mengambil kesempatan melakukan samun jika bersendirian.

“Kumpulan ini menyamun harta benda yang ada pada pemilik premis tadi seperti beg duit, barang kemas, telefon bimbit dan sebagainya dengan mengikat mangsa. Mangsa juga ditinggalkan di situ sebelum berjaya melepaskan diri.

“Hasil soal siasat semua suspek, polis berjaya menyelesaikan 11 kes samun berkawan di sekitar negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek, masing-masing dari dari Johor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan itu, masih direman dan akan merujuk kepada kontinjen di negeri lain bagi memastikan sama ada mereka turut terbabit dengan kejadian samun di negeri berkaitan.

“Setakat ini juga, selepas dirujuk kepada kontinjen Johor didapati kumpulan ini, terbabit dalam 50 kes samun di sana berdasarkan modus operandi sama digunakan.

“Siasatan lanjut juga mendapati seorang daripada suspek mempunyai 20 rekod kesalahan lampau, termasuk samun dan pecah rumah,” katanya.

Bukan itu saja, katanya, polis juga cuba mengesan tiga lagi rakan penjenayah terbabit yang masih bebas.

“Kita berharap sesiapa mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan dua daripada mereka diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Melaka Tengah, Deputi Superintendan Gan Chip Pho di talian 019-7778228.Mereka ialah Pak Tiew Liau atau dikenali Rambut Putih dan Yong Ah Kong atau nama panggilannya, Ah Kong, nombor kad pengenalan 600206-05-5349,” katanya.

No comments:

Post a Comment