Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

Meninggal dunia dalam kereta baru dibeli 3 hari


MARANG: “Dia beria-ia membeli kereta itu dan saya tidak sangka dia meninggal dunia dalam kenderaan yang diimpikan itu,” kata Syed Mohd Hasrul Hafizal, 29, abang kepada mangsa kemalangan maut di Kilometer 50.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di Rhu Kubur, semalam.
Syed Mohd Azrin Syed Abd Fatah (gambar), 22, yang memandu kereta Proton Wira terbunuh apabila kenderaan baru dibeli Ahad lalu, dipercayai terbabas sebelum melanggar pokok.

Dalam kemalangan jam 8.30 pagi itu, mangsa dari Kampung Gong Beris, Merchang cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian. Syed Mohd Hasrul berkata, adiknya bekerja sebagai penyelia keselamatan di syarikat membekal tenaga pekerja di Bandar Baru Kerteh, Kemaman.

“Selepas tamat projek di syarikat, arwah meminta cuti beberapa hari dan kelmarin menghubungi saya memaklumkan dia menginap di rumah rakannya di Dungun.

“Dia beritahu membeli Proton Wira daripada rakannya dengan harga RM10,000.

“Saya mendapat tahu ketika kejadian arwah dalam perjalanan ke Jabatan Pengangkutan Jalan di Kuala Terengganu untuk menukar nama kereta yang dipandunya itu,” katanya.

Menurutnya, dia mendapat tahu adiknya itu terbabit dalam kemalangan daripada seorang rakan yang bertugas sebagai pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Gong Balai yang kebetulan dipanggil orang ramai ke tempat kejadian.

Syed Mohd Asrul berkata, dia bergegas ke lokasi kemalangan dan setibanya di situ, mengoyang-goyangkan badan adiknya itu tetapi tiada tindak balas.
“Ketika bertemu dengannya minggu lalu, saya tidak nampak perubahan pelik ke atas dirinya sebaliknya dia beberapa kali memberitahu bercadang membeli kereta Proton Wira.

“Saya reda dengan ketentuan Ilahi dan jenazahnya disemadikan di kampung kami di Merchang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu dan jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
-kosmo

No comments:

Post a Comment