Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

Mangsa ribut mohon bantuan disegerakan



Azmi Lateh (dua kanan) ketika melawat rumah Latifah Bidi (kiri) yang turut dilanda ribut di Kampung Kandis, Kubang Pasu, semalam.


KUBANG PASU 30 Mac - Mangsa ribut di Kampung Kandis di sini meminta pihak yang bertanggungjawab segera menyalurkan bantuan kepada mereka bagi membolehkan mereka tinggal dalam keadaan yang lebih selesa selepas rumah rosak dilanda ribut Isnin lalu.
Kira-kira 13 buah rumah di kampung tersebut mengalami kerosakan di bahagian bumbung setelah ribut kuat melanda kampung tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kampung tersebut mendapati kebanyakan rumah yang rosak masih belum dibaiki dan mangsa terpaksa tinggal dalam keadaan yang basah kerana hujan sejak awal pagi ini.
Seorang mangsa, Latifah Bidi, 54, berkata, sudah dua malam dia dan tujuh lagi ahli keluarganya terpaksa tidur dalam keadaan yang tidak selesa dan basah kerana bumbung rumah mereka habis diterbangkan angin akibat ribut.
"Saya mohon kerajaan dapat memberi bantuan kepada kami untuk membaiki bumbung kerana ramai mangsa ribut hanya bekerja sebagai petani sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Negeri Kedah, Datuk Azmi Lateh yang melawat mangsa ribut di kampung itu berkata, pihaknya akan cuba memberi bantuan yang sewajarnya kepada mangsa yang terlibat dengan bencana ribut tersebut.

No comments:

Post a Comment