Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

Lima penjenayah guna treler curi rompak wayar emas



SEREMBAN 30 Mac - Lima penjenayah bertindak nekad melarikan sejumlah wayar emas dari sebuah lori syarikat keselamatan, selepas kenderaan itu dirempuh menggunakan sebuah treler curi.
Kejadian berlaku di Lorong Senawang 2/3, Kawasan Perindustrian Senawang dekat sini kira-kira pukul 11.45 pagi ini.
Ketika kejadian, lori syarikat keselamatan itu yang dinaiki tiga pengawal keselamatan dalam perjalanan ke sebuah kilang syarikat semikonduktor di kawasan perindustrian itu.
Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, salah seorang daripada penjenayah yang memandu sebuah treler bertindak merempuh bahagian depan lori keselamatan berkenaan menyebabkan ia terhenti di lorong tersebut.
"Empat lagi rakannya yang bersenjatakan parang dan menaiki sebuah kereta muncul di belakang lori keselamatan itu sejurus selepas kejadian dan mengarahkan kesemua pengawal keselamatan tersebut menyerah diri.
"Mereka kemudian memecahkan pintu belakang lori keselamatan itu dan memindahkan wayar emas ke dalam kereta sebelum melarikan diri," katanya.
Menurut Mohd. Yusoff, pengawal keselamatan yang memandu lori berkenaan cedera ringan akibat impak pelanggaran, manakala dua rakannya tidak mengalami kecederaan.

No comments:

Post a Comment