Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Lelaki mualaf larikan kereta peniaga

SH


SEREMBAN – Seorang peniaga mengalami kerugian hampir RM18,000 berikutan kereta Proton Kancil dengan nombor pendaftaran NBK350 miliknya, dibawa lari seorang lelaki mualaf.

Mangsa, Fatimah Don, 56, mendakwa lelaki dikenali sebagai Tommy, 27, adalah kenalan rakannya.

Menurutnya, dalam kejadian 23 Februari lalu, kira-kira jam 8 pagi, dia didatangi lelaki terbabit yang mahu meminjam kereta untuk mengambil adiknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.

“Saya bagaimanapun enggan meminjamkan kereta kerana mahu menggunakannya untuk membeli barangan keperluan dapur di pasar.

“Secara tiba-tiba, lelaki terbabit bertindak kasar dan cuba menumbuk muka saya, sebelum merampas kunci kereta, lalu melarikannya,” katanya.

Fatimah yang menetap di Rumah Pangsa Perdana Paroi berkata, dia menghubungi telefon bimbit lelaki berkenaan dan dimaklumkan dia berada di KLIA.

“Pada hari sama, saya mendesaknya supaya memulangkan segera kenderaan berkenaan tetapi tidak diendahkan sebelum dia terus mematikan telefon bimbitnya dan kemudiannya gagal dihubungi,” katanya.

Berikutan itu, mangsa bertindak membuat laporan di Balai Polis Seremban 2 untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, dia bukan sahaja bimbang dengan keadaan kereta miliknya, malah khuatir jika digunakan bagi tujuan jenayah.

“Sebelum ini lelaki terbabit pernah terlibat dalam kes curi kenderaan dan melarikan wang majikannya di Johor Bahru tetapi tidak menyangka kejadian ini berlaku kepada saya.

“Saya berharap, sesiapa yang menjumpai kereta berkenaan, dapat segera menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

No comments:

Post a Comment