Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Lelaki Indonesia samun RM80,000 diberkas



JOHOR BAHRU 2 Mac - Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai menyamun wang tunai RM80,000 daripada seorang lelaki tempatan di Masai dekat sini, baru-baru ini.
Suspek yang berusia 36 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis ketika berada di sebuah rumah di Jalan Waja Utama, Johor Jaya dekat sini pada pukul 2.15 petang Khamis lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, ketika kejadian, mangsa baru sahaja mengeluarkan wang tunai RM83,000 dari sebuah bank di Masai.
Menurutnya, semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya, dia disamun tiga lelaki warga Indonesia bersenjatakan parang panjang.
"Dengan penangkapan lelaki tersebut, polis menemui semula wang tunai berjumlah RM74,000, sebuah kereta Proton Waja yang dilaporkan hilang di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan merampas dua bilah parang panjang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian berasingan pada pukul 2.30 petang, 21 Februari lalu, polis berjaya memberkas sepasang suami isteri warga asing bersama empat pekerja Indonesia berusia lingkungan 40-an di sebuah kilang besi buruk di Jalan Kota Tinggi, Kulaijaya.
Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas tiga lori, sebuah komputer dan sekarung guni berisi biji plastik berwarna putih dan 160 guni kosong.
"Serbuan itu adalah hasil aduan seorang mangsa di sebuah kilang di Pasir Gudang yang memaklumkan kilangnya disamun empat lelaki warga Indonesia pada 31 Januari lalu.
"Dalam kejadian itu, dua kontena berisi biji plastik bernilai RM300,000 telah disamun," katanya.
Siasatan awal mendapati, salah seorang suspek memiliki satu rekod jenayah di bawah Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan dan turut dikehendaki polis di bawah Seksyen 29 (1) Undang-undang Kesalahan Kecil.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.Utusan Malaysia Online - Johor

No comments:

Post a Comment