Search This Blog

Sunday, March 20, 2011

Kumpulan samun, pecah rumah tumpas




JOHOR BAHRU – Hasil kecekapan polis berjaya menumpaskan kumpulan samun dan pecah rumah sekitar bandar raya ini dengan penahanan dua suspek berusia antara 20 hingga 24 tahun di kawasan Taman Sentosa, di sini, 7 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya kejayaan itu berjaya menyelesaikan sekurang-kurang 21 kes samun dan tujuh kes pecah rumah di Johor Bahru yang sudah bergiat aktif sejak awal tahun lalu.

Menurutnya, susulan daripada penangkapan itu, pihaknya berjaya menemui semula dan merampas senjata digunakan selain barangan hasil samun serta pecah rumah menerusi serbuan dan pemeriksaan susulan ke sebuah rumah di Taman Sri Tebrau, di sini.

“Polis menerima laporan lapan mangsa berumur lingkungan usia 22 hingga 43 tahun yang berada di sebuah kafe siber di Bandar Baru Permas Jaya disamun oleh empat lelaki bersenjatakan dua parang setiap seorang.

“Suspek dikatakan merampas kesemua beg duit mangsa yang mengandungi wang tunai berjumlah kira-kira RM8,000, dokumen pengenalan diri, kad ATM, lapan telefon bimbit dan barangan berharga lain.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Johor berjaya menahan dua daripada empat suspek tidak sampai 48 jam selepas kejadian di kawasan Taman Sri Tebrau dan menemui senjata serta barangan hasil samun,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, baru-baru ini.

Antara barang yang ditemui adalah 12 parang panjang, tiga pisau, kapak, tiga rotan, besi, Sky Mask, 60 MyKad, 54 lesen memandu, dua pasport, 14 kad ATM, lima telefon bimbit dan wang tunai RM8,000.

Jalaluddin berkata, seorang daripada dua suspek terbabit yang ditangkap didapati dalam jaminan mahkamah di atas kesalahan melakukan samun di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan pada bulan Ogos 2010 di Taman Sri Tebrau.

“Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 18 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (samun berkawan bersenjata) dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun berserta sebatan.

“Pihak polis juga kini sedang giat memburu dua lagi ahli kumpulan (rakan sejenayah) yang masih bebas,” katanya.

No comments:

Post a Comment