Search This Blog

Sunday, March 20, 2011

Kena panah petir



IPOH – Hujan lebat diikuti dentuman petir yang kuat mengakibatkan salah satu menara di Masjid Datuk Panglima Kinta rosak dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.

Menara setinggi hampir 30 meter itu dipercayai terkena petir yang kuat sehingga menyebabkan bahan binaannya terjejas.

Masjid yang dijadikan bangunan warisan itu berusia 113 tahun dan hasil binaannya menggunakan seni pertukangan batu yang sukar ditemui pada masa kini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa serpihan batu daripada menara berkenaan jatuh di bahagian hadapan masjid.

Turut kelihatan pita pengadang menutupi kawasan itu bagi mengelakkan jemaah terkena serpihan batu yang jatuh.

Bilal masjid, Rashid Yusof berkata, kejadian itu berlaku antara jam 3.30 hingga 3.40 petang sewaktu hujan lebat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sejurus mendapat maklumat daripada sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai kejadian, beliau terus bergegas untuk melihat kerosakan menara itu.

“Nasib baik perkara itu berlaku beberapa jam selepas jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid ini.

“Jika tidak, pasti ada dalam kalangan mereka yang mungkin berhadapan dengan situasi tidak diingini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, petang kelmarin.

Berdasarkan sejarah, masjid terbabit adalah yang pertama di bandar raya Ipoh yang dibina oleh Datuk Panglima Kinta Mohamed Yusof sebagai memperingati isterinya yang meninggal dunia.

Keunikan masjid ini ialah pada seni bina yang asli dan unik manakala bahagian belakang terdapat tanah perkuburan keluarga Panglima Kinta.

Di sebelahnya pula dibina Madrasah Kamaliah yang merupakan Sekolah Arab pertama di Ipoh. Difahamkan, masjid itu mampu menampung lebih 500 jemaah pada satu-satu masa.

Rashid berkata, pihak masjid sudah mengajukan kerosakan itu kepada kontraktor agar memperbaikinya dengan kadar segera.

Sementara itu, kontraktor, Kamal Basir ketika ditemui berkata, pihaknya akan cuba memperbaiki kerosakan terbabit dalam tempoh tiga minggu.

Menurutnya, menara itu agak sukar untuk dibaiki kerana ia terlalu tinggi dan akan mengambil masa membaik pulih bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Bagaimanapun, struktur masjid ini secara keseluruhan masih selamat untuk digunakan jemaah,” katanya.

Beliau menganggarkan sekurang-kurangnya RM10,000 diperlukan untuk memperbaiki kerosakan menara berkenaan.

No comments:

Post a Comment