Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

Juruteknik dipenjara 11 tahun, 6 sebatan



KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu semalam menjatuhkan hukuman 11 tahun dan enam bulan penjara serta enam sebatan ke atas seorang juruteknik sebuah syarikat minyak, setelah didapati bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata pada April 2009.

Tertuduh, Mohd Kamaruzahni Ngah, 34, yang kelihatan tenang di kamar tertuduh, mengaku bersalah di atas kedua-dua pertuduhan yang dikenakan.

Berdasarkan pertuduhan pertama yang dikenakan, pada 13 April 2009, jam lebih kurang 4.10 petang di Tukang Emas Berkat di Kedai Arked Mara, Jalan Pasar Paka, Dungun, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas telah merompak dua dulang gelang tangan dan empat dulang rantai emas, jumlah kerugian sebanyak RM300,000 milik Ibrahim Che Kok, 56.

Semasa melakukan rompakan itu, tertuduh telah menggunakan senjata maut iaitu sepucuk pistol dan sebatang kayu besbol, dengan itu didapati telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, pada 13 April 2009, jam lebih kurang 4.15 petang di Kedai Yong Seng Tukang Emas, Paka, Dungun, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas telah merompak satu dulang tali tangan emas bernilai lebih kurang RM50,000 dan tiga dulang rantai emas bernilai RM50,000 milik Lee Jing Rong, 33.

Semasa melakukan rompakan itu, tertuduh juga telah menggunakan senjata sama dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Bagi pertuduhan pili-han iaitu pada 23 April 2009, jam lebih kurang 2.30 pagi bertempat di Rumah Mampu Milik, Kerteh, Kemaman, tertuduh telah menyimpan harta curi iaitu tiga pasang subang berwarna kuning dan dua gelang tangan warna kuning kepunyaan Ibrahim Che Kok, 56, dengan mengetahui bahawa harta tersebut adalah harta curi dan dengan itu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa kemudiannya menjatuhkan hukuman 11 tahun dan enam bulan penjara serta enam sebatan mahkamah.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi dan Hazeelia Mohammad manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Kamaruzaman A Wahab.

No comments:

Post a Comment