Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Jumpa mayat terapung

KUALA LUMPUR: “Mulanya saya menyangka objek yang terapung di dalam sungai adalah mayat bayi selepas ternampak bentuknya seakan-akan kepala hanyut,” kata pegawai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Zaini Che Soh, 47, saksi penemuan mayat terapung di Sungai Klang, berhampiran Pasar Seni, di sini, semalam.
Katanya, ketika kejadian dia sedang membuat rondaan di hadapan Pasar Seni sebelum dimaklumkan orang ramai mengenai penemuan objek terapung itu.

“Apabila diamati benda terapung itu, saya ingatkan kepala bayi. Saya kemudian memaklumkan kepada anggota polis yang bertugas di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan, dia mendapati objek berkenaan sudah dihanyutkan ke bawah jambatan berdekatan stesen bas Klang menyebabkan anggota polis terbabit bergegas ke lokasi itu.

Seorang lagi saksi enggan dikenali berkata, selepas ternampak mayat hanyut itu, dia mengikut ke mana arah dihanyutkan sebelum tiba di bawah jambatan berdekatan stesen bas Klang.


Katanya, dua penghuni bawah jambatan kebetulan berada di tempat kejadian kemudian terjun ke dalam sungai menarik mayat itu.

“Mereka kemudian mengikat mayat berkenaan di tebing sungai bagi mengelak dihanyutkan sementara menunggu pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, mayat dikenal pasti seorang lelaki Afrika berusia 30-an, tetapi tiada sebarang pengenalan diri ditemui bersamanya.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
myMetro | Jumpa mayat terapung

No comments:

Post a Comment