Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

“Jangan sorok anak saya”

SH


AYER KEROH - “Keluarkan keempat-empat anak saya dan jangan sorok kerana saya ibu mereka, jangan buat saya macam ini,” rayu seorang ibu terhadap bekas suaminya setelah didapati mengambil kesemua anak mereka daripada jagaan ibunya di kampung Bukit Duyong, Melaka pada 2 Februari ketika cuti sambutan Tahun Baru Cina lalu.

Anita Abdul Latif, 40, berkata, insiden itu berlaku lapan hari sebelum dia mendapat perintah untuk hak penjagaan sementara kepada empat anaknya oleh hakim kanan Mahkamah Tinggi Syariah Melaka pada 10 Februari lalu.

Menurutnya, ketika kes itu disebut, bekas suaminya tidak hadir ke mahkamah bagi menyebut kes hak penjagaan anaknya, iaitu Muhammad Amirul, 14, Nur Suzerain, 13, Muhammad Amiruddin, 11 dan Nur Jannah, 4.

Katanya, hatinya bertambah risau apabila tiga hari selepas itu ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bekas suami yang menyatakan dia enggan memulangkan keempat-empat anaknya.

“Pada awalnya bekas suami mengambil anak yang ketika itu bersama bapa mentua atas alasan bercuti di rumah mereka di Batu Caves, Selangor.

“Berikutan itu, saya terus ke rumah mertua dengan niat mahu mengambil semua kesemua anak saya tetapi malangnya mereka enggan memberikan kerjasama, malah sewaktu dalam perjalanan pulang ke Melaka saya terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui semasa membuat aduan mengenai masalah itu kepada Pembela BN negeri Melaka, kelmarin.

Anita berkata, tujuan dia mahu mengambil kesemua anaknya berikutan dia tahu bekas suaminya tidak mampu menanggung mereka, malah tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak hampir 15 tahun lalu.

“Lagipun kesemua anak saya sudah didaftarkan sekolah di sini (Melaka) atas nama saya, malangnya kini sudah sebulan mereka tidak hadir ke sekolah.

“Yang merisaukan saya, pihak sekolah juga sudah pun menghantar surat amaran berikutan ketidakhadiran anak saya ke sekolah,” katanya.

Menurutnya, ibunya yang berusia 67 tahun kini begitu tertekan kerana amat bimbangkan masa depan cucunya.

“Saya hairan mengapa keluarga mentua tidak bimbang mengenai masalah yang berlaku, sedangkan saya ibunya, hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan saya.

“Saya merayu supaya bekas suami dapat memulangkan semua anak saya lebih-lebih lagi mereka tidak pernah berenggang dengan saya sejak kecil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelia Pembela Barisan Nasional (BN), Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya sudahpun menghubungi salah seorang daripada keluarga bekas suami berkenaan tetapi malangnya mereka enggan memberikan kerjasama.

Menurutnya, beliau hanya mendapat penjelasan bahawa mereka tidak mahu mencampuri masalah rumah tangga pasangan berkenaan.

“Pembela BN akan melakukan susulan berhubung kes ini sehingga berjaya mendapat maklumat terkini di mana kesemua anak-anak wanita terbabit berada.

“Pihak Pembela akan mengambil tindakan dengan menyalurkan maklumat kanak-kanak ini kepada pihak Jabatan Pelajaran Negeri untuk mengesan di mana mereka bersekolah pada masa kini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan merayu kepada bapa kanak-kanak berkenaan agar dapat memulangkan segera ke pangkuan ibunya sehinggalah perkara itu dapat diselesaikan secara berhemah mengikut lunas undang-undang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment