Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Jakarta rayu hukuman ringan untuk amah

JAKARTA: Indonesia semalam berkata, ia merayu kepada Arab Saudi untuk meringankan hukuman pancung yang dikenakan terhadap seorang pembantu rumah rakyatnya yang didapati bersalah membunuh majikannya.
Sebuah mahkamah di Riyadh menjatuhkan hukuman itu ke atas Darsem kerana membunuh majikannya, warga Yaman pada Disember 2007, kata jurucakap Kementerian luar, Kusuma Habir.

“Kami mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu menerusi kedutaan kami di Riyadh dan peguam Darsem.

“Kami berharap dia akan dibebaskan atau sekurang-kurangnya mendapat hukuman lebih ringan.

“Darsem berkata dia bertindak mempertahankan diri apabila majikannya cuba merogolnya,” kata Kusuma.


Beliau juga berkata, pihak berkuasa Indonesia cuba mengumpulkan wang pampasan atau ‘diyat’ berjumlah SR2 juta (RM1.62 juta) untuk keluarga mangsa.

“Darsem boleh terlepas daripada hukuman itu jika dia menerima pengampunan daripada keluarga berkenaan.

Keluarga itu mengampunkannya Januari lalu dengan syarat dia membayar wang pampasan itu,” kata Kusuma.

Kedutaan Indonesia di Riyadh menerima ikrar sumbangan kira-kira SR1 juta (RM810,000) daripada masyarakat negara itu di Arab Saudi.

“Kami diberi tempoh enam bulan untuk mengumpul wang berkenaan. Tetapi tarikh itu boleh dilanjutkan.


“Kami akan berusaha mengumpulkannya,” katanya.


Kira-kira 70 peratus daripada 1.2 juta rakyat Indonesia di Arab Saudi bekerja sebagai pembantu rumah.


Kumpulan hak asasi manusia berkata, kira-kira sejuta pembantu rumah di Arab Saudi terdedah kepada penganiyaan. - AFP
myMetro

No comments:

Post a Comment