Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

Guru 6 beranak tidur di sekolah


KANGAR: Seorang guru terpaksa bermalam di sekolah tempat dia mengajar apabila rumahnya dinaiki air setinggi satu meter di Taman Bukit Kayangan, di sini, semalam, berikutan hujan lebat berpanjangan sejak tiga hari lalu.
Maisarah Ismail, 39, guru mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Behor Empiang, Bintong, dekat sini, tiada pilihan berikutan sekolah itu menjadi pusat pemindahan banjir sementara bagi kawasan berkenaan. Dia bersama enam anaknya termasuk anak bongsunya, Nur Syaukina Ashikin Muhamad Sukri, lima bulan, sebelum ini sudah dua kali ditempatkan di pusat pemindahan banjir sementara di sekolah berkenaan.

Keluarga Maisarah adalah antara 100 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir sementara di situ selepas Kangar mencatatkan kawasan paling teruk terjejas akibat banjir kilat.

Menurutnya, pertama kali dia ditempatkan di situ ialah pada November tahun lalu dan ketika itu masih dalam tempoh berpantang selepas 10 hari melahirkan anak bongsunya.

“Sekolah ini memang menjadi kenangan buat saya dan Nur Syaukina apabila sebelum ini kami berdua ditempatkan di sekolah ini dan hari ini (semalam) sekali lagi kami ditempatkan di sini.

“Anak bongsu saya kelihatan sudah biasa dengan situasi pusat pemindahan berkenaan apabila tidak menangis sebaik tiba di situ pagi ini (semalam),” katanya.

Menurut Maisarah, keadaan berkenaan sudah dijangka selepas hujan lebat tiga hari berturut-turut menyebabkan keluarganya berpindah ke masjid berdekatan untuk berteduh.

“Ketika itu saya hanya bersama anak-anak, manakala suami, Muhamad Sukri Hassan, 43, berada di Ipoh, Perak kerana bekerja di sana.
“Anak mengejutkan saya kira-kira jam 2 pagi memberitahu air sudah mula naik sebelum bergegas mengemas rumah dan mengubah kereta ke tempat tinggi,” katanya.

Katanya, dia bersama enam anaknya sudah biasa dengan keadaan banjir berkenaan dan membuat persiapan lebih awal jika terpaksa berpindah.

No comments:

Post a Comment