Search This Blog

Saturday, March 12, 2011

Dua Datuk diarah bela diri


KUALA LUMPUR: Dua bekas pengarah sebuah syarikat diperintah membela diri di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM185 juta milik syarikat itu dengan memindahkan ke dalam akaun syarikat mereka, 13 tahun lalu.
Hakim S M Komathy Suppiah membuat keputusan itu terhadap Datuk Yip Yee Foo, 52, dan Datuk Chung Wai Meng, 46, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pilihan itu, kedua-dua tertuduh sebagai pengarah syarikat itu didakwa menyalahgunakan wang RM185 juta dengan memindahkannya daripada akaun bank syarikat berkenaan di Deutsche Bank (Malaysia) ke akaun bank Cycle & Carriage Limited di Standard Chartered Bank di Singapura. Wang itu bertujuan untuk pembelian 26,724,337 unit saham syarikat oleh syarikat mereka, Ecoplex Sdn Bhd dan Fulham Finance And Trade Limited.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan mereka bagi pertuduhan utama menggunakan muslihat untuk menipu syarikat sama sehingga wang itu dipindahkan ke akaun syarikatnya, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan itu mereka didakwa menggunakan muslihat untuk menipu syarikat Cold Storage (M) Bhd menyebabkan wang itu dipindahkan daripada akaun bank syarikat itu di Deutsche Bank (Malaysia) ke akaun Cycle & Carriage Limited di Standard Chartered Bank, di Singapura untuk pembelian unit saham syarikat berkenaan oleh syarikat mereka.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 87A (a) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280) yang boleh dihukum menurut Seksyen 91, akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Deutsche Bank (Malaysia) Bhd, Tingkat 18-20, Menara IMC, 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 16 September 1997 dan 20 Mac 1998.
Komathy dalam penghakimannya berkata kegagalan pihak pendakwaan memanggil saksi penting iaitu seorang broker saham dari Singapura menyebabkan wujud jurang dalam kes pendakwaan.

Bagaimanapun mahkamah mendapati tertuduh atas kapasiti sebagai pengarah syarikat ketika itu terdapat unsur pecah amanah seperti yang terdapat dalam pertuduhan pilihan.

No comments:

Post a Comment