Search This Blog

Sunday, March 20, 2011

Ditumbuk, rompak, culik




LEBAM...Yuen menunjukkan kesan lebam di wajahnya gara-gara ditumbuk  sekumpulan penjenayah.
LEBAM...Yuen menunjukkan kesan lebam di wajahnya gara-gara ditumbuk sekumpulan penjenayah.

JOHOR BAHRU: “Saya hanya ingat mati apabila diculik. Penculik itu bukan saja menutup mata saya tetapi turut mencekik leher, menumbuk muka bertubi-tubi dan mengikat tangan selepas saya dihumban ke tempat duduk belakang kereta keluarga,” kata mangsa culik, Yuen Mei Kien, 49, semalam.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu terpaksa menempuhi detik mencemaskan apabila diculik kumpulan penjenayah hampir dua hari, termasuk dirompak dan dikurung di sebuah rumah, sebelum dibebaskan awal pagi semalam.

Yuen berkata, kejadian berlaku jam 6 pagi Khamis lalu ketika dia meletakkan kereta berhampiran sebuah restoran makanan segera di Taman Bukit Indah, di sini, kerana mahu menaiki kenderaan rakan untuk menuju ke tempat kerja di Singapura.

Yuen yang bekerja sebagai ketua pentadbir di sebuah syarikat swasta di negara republik itu berkata, ketika turun dari kereta, tiba-tiba dua lelaki menghampirinya dan merampas kunci kereta sebelum dia dihumban ke kereta milik keluarganya.

“Lebih kuat saya meronta, kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an bertindak lebih ganas dan mencekik saya hingga saya terpaksa akur dengan arahan mereka demi menyelamatkan nyawa.

“Setiap kali bertanya termasuk nombor pin kad mesin juruwang automatik (ATM), mereka menumbuk muka saya, mengakibatkan hampir keseluruhan wajah menjadi lebam, terutama di mata.

“Kemudian mereka mengurung saya di dalam kereta hampir 10 jam sementara mengeluarkan wang saya bernilai RM10,000 daripada ATM,” katanya.

Yuen berkata, sepanjang perjalanan dalam kereta, dia mendengar kumpulan penjenayah berkomunikasi dalam Bahasa Tamil sebelum dia dikurung di bilik gelap di sebuah rumah bagi mengelakkannya melarikan diri.
Bagaimanapun kira-kira jam 2.30 pagi semalam, penjenayah menghantarnya ke Jalan 1/3, Taman Bukit Indah, di sini, menggunakan kereta sebelum menghilangkan diri.

“Keadaan saya lebih buruk daripada banduan penjara. Saya bukan saja kelaparan kerana tidak diberikan makan minum hampir dua hari, malah cedera hampir seluruh badan.

“Melihat keadaan saya yang tidak bermaya, mereka mengambil keputusan meninggalkan saya di tepi jalan biar pun pada awalnya mengugut menghumban saya ke dalam longkang,” katanya yang kemudian dibantu beberapa pengguna jalan raya.

Yuen yang masih trauma dengan kejadian itu meminta bantuan orang ramai yang ada maklumat berkaitan kereta keluarga Toyota Vios dengan nombor pendaftaran JMA 8711 yang dilarikan penjenayah itu supaya menghubungi polis secepat mungkin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superitendan Abdul Aziz Ahmad mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, dalam kejadian itu mangsa turut kehilangan wang tunai RM500, S1,000 (mata wang Singapura), telefon bimbit dan kereta jenis Toyota Vios.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan dan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik.

“Polis akan mengambil keterangan daripada mangsa secepat mungkin selain menjalankan usaha bagi menangkap penjenayah terbabit,” katanya ketika dihubungi semalam.

No comments:

Post a Comment