Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Didakwa miliki daun ketum

SH


KUANTAN – Seorang bapa bersama anak lelakinya yang baru berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan memiliki daun ketum (Mitrasynine) ketika berada di Jalan Pintasan Kuantan di sini, 28 Februari lalu.

Tertuduh, 38, dari Felda Panching Timur dan anak lelakinya bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Adibah Abdul Kadir terhadap pertuduhan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Mohamad Azman Ariffin itu.

Ekoran pengakuan tidak bersalah mereka, mahkamah membenarkan tertuduh pertama dibebaskan dengan ikat jamin RM1,500 manakala anaknya RM400 dengan seorang penjamin.

Kes tersebut akan disebut semula 4 April depan bagi sebutan laporan kimia dalam mahkamah yang sama.

Dua beranak itu ditahan polis kira-kira jam 12.15 pagi, penghujung Februari lalu ketika berada di Jalan Pintasan Kuantan di sini.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah beg pakaian berwarna hitam dan satu guni baja berisi daun ketum yang mengandungi bahan Mitrasynine.

Bahan tersebut tersenarai dalam jadual pertama dan ketiga (Bahan Psikotropik) Akta Racun 1952.

Perbuatan dua beranak itu memiliki bahan tersebut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30 (5) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi empat tahun dan denda tidak melebihi RM10,000.

No comments:

Post a Comment