Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

Dia tak pernah mungkir janji


TELUK INTAN: “Arwah bersungguh-sungguh mahu menghantar saya menunaikan umrah dan haji ke Tanah Suci Makkah sebaik dia selesai menjalani latihan dan mula bekerja kelak. Namun, hasratnya hanya tinggal kenangan pahit,” kata Muntiah Saiin, 45, ibu kepada pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol), Muhammad Bisman Siman, 23, yang meninggal dunia, semalam.
Menurutnya, arwah menyampaikan hajat besarnya itu selepas dia terpilih menjalani latihan sebagai kadet konstabel di Pulapol sejak Januari lalu.

“Arwah tidak pernah mungkir janji. Dia akan kotakan apa dijanjikan, namun semua impian itu terkubur begitu saja.

“Malah, arwah turut berulang kali berjanji mahu menjaga kebajikan semua adik-adiknya termasuk menanggung perbelanjaan persekolahan apabila mendapat gaji pertamanya nanti,” katanya sambil berlinangan air mata.

Muhammad Bisman mangsa ketiga pelatih Pulapol Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang meninggal dunia akibat jangkitan Adenovirus di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur jam 11.30 malam kelmarin.

Muntiah yang ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Tiang Tengah, Bagan Datoh, di sini, berkata, arwah pernah membuat permintaan aneh supaya jangan menangis sekiranya dia meninggal dunia ketika menjalani latihan ataupun ketika bekerja.

“Sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur, arwah tiba-tiba memegang tangan seolah-olah mahu mengatakan sesuatu. “Sebagai ibu saya amat memahami perasaannya. Arwah seolah-olah sudah mengetahui ajalnya semakin hampir dan saya sempat membisikkan ke telinganya memberitahu semua dosanya kepada saya diampunkan. Sebagai seorang ibu hanya saya saja yang tahu betapa peritnya perasaan kehilangan anak,” katanya.

Menurutnya, penderitaan anaknya itu hanya diketahui pada 3 Mac lalu apabila arwah dimasukkan ke wad rawatan rapi berikutan keadaannya kian kritikal selepas muntah-muntah serta cirit-birit.
“Saya yang melawatnya di hospital mendapati arwah sukar bernafas dan sentiasa mengalirkan air mata. Saya menjaganya bergilir-gilir dengan suami, Siman Sappar, 63, di hospital sebelum pulang ke rumah Isnin lalu.

“Namun, saya terkejut apabila diberitahu dia menghembuskan nafas terakhirnya semalam (kelmarin). Saya reda dengan pemergiannya kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Bapa mangsa, Simanenggan enggan mengulas dan masih kelihatan terkejut ketika menghadiri upacara pengebumian jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiang Tengah, di sini.

Adik Allahyarham, Dalillah Siman, 13, berkata, arwah seorang abang yang penyayang, periang serta amat bertanggungjawab. Sementara itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa semalam.

No comments:

Post a Comment